PENYERANG PDRM FC, Ifedayo Olusegun tidak bimbang meskipun dia gagal menjaringkan gol pada aksi pembukaan Liga Super 2024-25 yang menyaksikan pasukannya tewas kepada Kedah Darul Aman FC di Selayang pada Sabtu.

Ifedayo mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan namun dia gagal menewaskan Kalamullah Al Hafiz meskipun hanya berhadapan satu lawan satu namun baginya ini adalah sebahagian daripada asam garam dalam bola sepak.

Dia mengakui kekalahan itu sedikit menyakitkan kerana dibolosi pada awal permainan namun dia jelas kecewa dengan keadaan padang yang disifatkan sangat menyedihkan ekoran hujan sejak dari sebelum perlawanan.

Ifedayo yakin PDRM FC akan bangkit pada perlawanan seterusnya

“Ianya menyakitkan kerana bolos awal dan sedikit menggangu rentak permainan kami tetapi padang menjadi masalah utama perlawanan hari ini kerana ianya sangat sukar untuk beraksi baik dalam keadaan seperti itu.

“Sebagai penyerang, sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat menjaringkan gol tetapi keadaan padang sangat teruk. Semua pemain dalam skuad sudah memberikan segala-galanya tetapi ini adalah bola sepak kadangkala ianya tidak menyebelahi anda.

“Ada perlawanan anda tidak dapat jaringkan gol. Kadangkala ia berlaku pada awal musim, hujung musim mahupun pertengahan musim tetapi berdasarkan pengalaman, saya hanya perlu terus bekerja keras dan jaringan pasti tiba,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Keadaan padang umpama bendang menggangu kelancaran permainan

Disebalik kekalahan, bekas penyerang Kedah itu bagaimanapun gembira dengan penampilan yang ditunjukkan rakan-rakan sepasukannya dan yakin mereka mampu bangkit dalam perlawanan seterusnya bertemu Perak FC di Ipoh.

“Perlawanan masih banyak dan kami akan gunakan perlawanan seterusnya untuk bangkit kerana kami tahu sebagai satu pasukan, kami bermain lebih baik dalam perlawanan ini berbanding Kedah,” jelasnya.