PENYERANG sensasi BG Pathum United, Ikhsan Fandi Ahmad menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai satu pasukan yang kuat dan mempunyai penyudah yang cemerlang dalam setiap peluang jaringan yang terbentang.
Pemain muda yang berusia 24 tahun ini juga menjangka bahawa JDT akan terus mendominasi perlawanan terutama di Liga Malaysia mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi atau sebaliknya.
Jelas bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Ikhsan ini timbul apabila wartawan FLASH SUKAN mengajukan soalan mengenai keinginannya untuk berada dalam Liga Malaysia tambahan bapanya, Fandi Ahmad juga kini mengendali pasukan Sri Pahang FC.
“Saya tidak tahu untuk masa akan datang, tetapi untuk waktu sekarang saya hanya fokus bersama pasukan saya, BG Pathum di Thailand.
“Saya akui Malaysia mempunyai kelab-kelab hebat seperti JDT yang kini gagah menjuarai Liga Malaysia dan mereka memang pasukan yang bagus. Tahniah buat JDT.
“Mereka juga mempunyai stadium yang bagus, kemudahan fasiliti yang top dan semuanya berada pada tahap yang sangat cemerlang.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) pastinya lagi tahu apa yang terbaik,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, bagi mengulas mengenai perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang berlangsung pada Selasa, Ikhsan beranggapan bahawa itu satu pertarungan yang agak malang baginya.
Namun, pasukannya telah cuba menampilkan aksi yang cemerlang dan menggunakan peluang sebaik mungkin sehingga ke minit-90 perlawanan.