PENYERANG BG Pathum United FC, Ikhsan Fandi dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Thai League 1 bagi edisi bulan April 2022.

Pencapaian itu dinilai berdasarkan prestasi menakjubkan Ikhsan bulan lepas yang telah beraksi tiga perlawanan (192 minit) dan menjaringkan empat gol.

Dia memperoleh hatrik pertamanya dengan BG Pathum dalam Thai League 1, menjaringkan empat gol menentang PT Prachuap untuk kemenangan 7-2 di tempat sendiri.

Hatrik Ikhsan hanya mengambil masa sembilan minit, menjadikannya terpantas dalam sejarah Thai League 1. Empat golnya dalam masa 11 minit menjadi catatan empat gol kedua terpantas pada abad ke-21 untuk liga bola sepak utama.

Ikhsan juga menjadi pemain Singapura pertama mendapat anugerah ini.

“Tahniah kepada @Ikhsanfandi kerana dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan @thaileague 1 (April),” menurut ciapan Twitter Lions Of Asia pada Jumaat.