PETINJU dari Algeria, Imane Khelif menewaskan Yang Liu dari China untuk memenangi emas kategori welterweight di Olimpik Paris.
Khelif, naib juara Kejohanan Dunia 2022, dan petinju Taiwan, Lin Yu-ting menjadi topik hangat di Paris selepas kelayakan mereka bersaing sebagai wanita dipersoalkan.
Khelif adalah wanita Algeria pertama memenangi gelaran tinju Olimpik dan petinju pertama negaranya meraih emas sejak Hocine Soltani di Atlanta 1996. Tinju wanita diperkenalkan di Olimpik sejak London 2012.
“Ini adalah impian saya. Lapan tahun, impian saya. Saya juara Olimpik, pemenang pingat emas. Saya sangat gembira. Lapan tahun saya berusaha.
“Lapan tahun, tidak tidur. Lapan tahun, letih. Kini saya juara Olimpik. Saya mahu berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya. Algeria dan rakyatnya, Paris.
“Pingat ini adalah jawapan terbaik untuk kempen menentang saya. Saya seorang wanita seperti wanita lain. Saya dilahirkan sebagai wanita dan membesar sebagai wanita, tetapi ada musuh terhadap kejayaan dan mereka tidak boleh menerima kejayaan saya,” kata Khelif, 25.
Janjaem Suwannapheng dari Thailand dan petinju Taiwan, Chen Nien-chin meraih gangsa.