JARINGAN tunggal di Stadium Hang Tuah, Melaka cukup untuk menobatkan Imigresen FC muncul juara Liga MBSB 2023, selepas menewaskan Melaka FC, ketika Kuala Lumpur Rovers dan Harini FT berkongsi satu mata di Stadium UPM, Serdang.

Turun selaku penghuni tangga kedua liga M3, keazaman Mighty Tigers menyerlah apabila menguasai babak pertama dengan beberapa percubaan berbahaya, ketika barisan serangan Melaka, sukar memasuki kawasan penalti pelawat.

Sengit… perlawanan antara Melaka FC dan Imigresen FC berlangsung sengit di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Menyedari hanya kemenangan akan membuka peluang buat mereka menjuarai Liga MBSB 2023, Imigresen FC menguji ketahanan tuan rumah seawal minit keenam dan ketujuh.

Percubaan pertama pelawat menerusi sepakan percuma berjaya diselamatkan penjaga gol Melaka, Muhammad Fahmie Hanafiah, manakala seminit selepas itu, Abdul Azim Rahim yang berjaya melepasi perangkap ofsaid, gagal mendapatkan bola apabila Abdul Azim sudah menyelamatkan keadaan.

Penjaga gol Melaka FC, Muhammad Fahmie Hanapiah sibuk mempertahan gawangnya ketika digasak penyerang Imigresen FC, N Jayabilaarivin.

Ketika Melaka cuba bangkit, gerakan mereka sering dipatahkan sebelum memasuki kotak penalti pelawat.

Setengah jam beraksi, Mighty Tigers mendapat dua sepakan sudut berturut yang menyaksikan pengadil, Firdaus Dahlan menghadiahkan sepakan penalti buat pelawat.

Abdul Azim yang mengambil sepakan itu, tenang, melepaskan rembatan ke kanan gawang Melaka, menewaskan Fahmie kali pertama, untuk Imigresen beroleh gol pertama pada minit ke-34.

Abdul Azim Rahim (tengah) meraikan jaringannya yang membawa kemenangan kepada Imigresen FC.

Pada minit ke-43, tuan rumah memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan apabila Muhamad Fakrul Aiman Sidid melepaskan rembatan deras, namun penjaga gol Imigresen Mohamad Izarul Adli Mohd Nasir, sempat melayangkan badan menepis bola keluar.

Minit ke-45, Imigresen hampir menggandakan pendahuluan, apabila rembatan Mohamad Alif Romli mengelirukan Fahmie di benteng terakhir Melaka, sebelum penjaga gol itu sempat mengangkat tangan menolak bola keluar.

Pemain Imigresen meraikan kemenangan yang menyaksikan Imigresen FC muncul juara Liga MBSB 2023.

Babak kedua bermula dengan penguasaan Melaka, namun beberapa peluang diperoleh mereka gagal diterjemahkan dengan jaringan dek ketumpulan penyudah.

Dalam keghairahan tuan rumah memburu jaringan penyamaan, Imigresen hampir mendapat gol kedua pada minit ke-61, ketika berlaku kekalutan di hadapan gawang tuan rumah sebelum Fahmie mendakap bola.

Melaka memberi cabaran lebih kaut di penghujung perlawanan namun kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat.