IMIGRESEN FC (IFC) semakin menghampiri puncak liga selepas mengalahkan Naga Ultimate KS FC (Naga UKS) dalam saingan Liga MBSB Bank Championship 2023 minggu ke-23 yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), petang tadi.
Seawal minit keenam pada babak pertama, IFC telah memulakan serangan dengan baik untuk membolosi gawang pasukan lawan, Naga UKS namun tidak berjaya dan diteruskan oleh pasukan pelawat untuk mencuba beri hantaran.
Tidak lama selepas itu, penjaga gol Naga UKS iaitu Firdaus Yusof terus menerima tekanan daripada pihak tuan rumah dan akhirnya tersungkur di gawang sendiri apabila kapten pasukan IFC, Abdul Halim Zainal berjaya melepasi jaringan golnya pada minit ke-17.
Bagaimanapun, Naga UKS meneruskan serangan dengan cubaan sepakan percuma ke pintu gol IFC dalam waktu dua minit masa tambahan separuh masa pertama namun ianya berjaya dikeluarkan dengan mudah oleh IFC.
Sebaik sahaja sebelum tamat masa tambahan yang diberikan, IFC tampil dengan jaringan gol kedua pada minit ke-46 daripada pemain berjersi nombor 15, Khairul Anwar.
Separuh masa pertama telah menyaksikan keputusan 2-0 iaitu kelebihan buat skuad IFC untuk meraih tiga mata penuh pada babak kedua perlawanan.
Selepas bermula sepakan untuk separuh masa kedua, Naga UKS terus gigih untuk mengejar IFC dan akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-47 menerusi Linkeshwar Ravi sekaligus menggegarkan benteng pertahanan IFC.
Tidak lama kemudian, IFC kembali menguasai rentak permainan dan rembatan ketiga telah berjaya dibuat oleh pemain yang memakai jersi nombor 11, Javabilaarivin pada minit ke-63.
Empat minit masa tambahan yang diberikan oleh pengadil pada babak kedua perlawanan telah dimanfaatkan dengan baik oleh kedua-dua pasukan namun keputusan sepenuh masa itu telah menyebelahi skuad IFC dengan kemenangan 3-1.
The Mighty Tigers kini mengutip 48 mata untuk kekal di tangga kedua, dipisahkan dua mata di belakang pendahulu semasa, Kuala Lumpur Rovers FC.