JUARA bertahan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship, Imigresen FC mula dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan pasukan UiTM United 3-0 di Stadium UiTM, Shah Alam Sabtu malam.

Meskipun turun sebagai pasukan pelawat, Imigresen FC mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dalam kalangan pemain yang berada di dalam skuad serta mempunyai seorang pemain import dalam pasukan.

UiTM United yang kembali ke divisyen ini buat pertama kali sejak musim 2012 pula rata-ratanya merupakan pemain muda yang tidak mempunyai pengalaman di pentas tertinggi Liga Malaysia.

Skuad kendalian Mat Zan Mat Aris menguasai permainan pada separuh masa pertama, dengan beberapa percubaan bahaya dilakukan oleh Imigresen seawal 15 minit yang pertama.

The Lion Troops kelihatan agak sukar untuk menyekat serangan Imigresen FC, dengan tempo permainan dan serangan yang agak pantas oleh mereka membuatkan pemain UiTM United kerap melakukan kesilapan dalam permainan.

Menurut ketua jurulatih Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris berkata beliau berpuas hati dengan keputusan yang dikecapi oleh pasukannya itu biarpun beliau mengharapkan jaringan yang lebih besar.

“Kalau lihat dari segi persembahan, kita mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi kita mensia-siakan peluang itu terutama pada babak pertama.

“Kita patut lebih menyerang lagi tadi kerana kita mempunyai kelebihan seorang pemain, patutnya kita menghantar bola ke hadapan namun kita asyik menghantar bola ke belakang, itu antara perkara yang perlu kita perbaiki,” katanya selepas perlawanan.

Gol daripada Imigresen FC berjaya dijaringkan oleh Hazim Abu Zaid pada minit ke-31 sebelum pemain import Mighty Tigers, Thankgod Michael menjaringkan gol hasil sepakan penalti pada minit ke-45.

Kapten pasukan Imigresen FC, Nasriq Baharom menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-56 hasil tandukan selepas UiTM United bermain dengan 10 orang ekoran penarikan baju oleh Wan Muhammad Irfan sejurus selepas rehat.