PASUKAN Harini FT gagal memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri kecundang tewas 1-2 kepada Imigresen FC (IFC) dalam aksi Liga MBSB Championship 2023 di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.
Pada awal babak pertama, pasukan pelawat terlebih dahulu berjaya memperoleh jaringan pembukaan seawal minit kesembilan menerusi Abdul Azim Rahim.
Tuan rumah mengamalkan gaya permainan menyerang dan kerap melakukan asakan ke kubu pelawat bagi mencari gol, namun, keputusan 0-1 kekal sehingga menuju ke bilik persalinan.
Bersambung 45 minit berikutnya, penyerang sensasi IFC, Abdul Azim lagi sekali tampil dengan tandukkan yang tepat ke gawang gol lawan pada minit ke-51 sekali gus menambah tekanan buat Harini FT.
Bekas tonggak Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha berjaya mengurangkan defisit gol pada minit ke-79 namun ianya sudah terlambat bagi mengakhiri permainan dengan kekalahahan.
Harini FT kini jatuh di tangga ketiga dan mengutip 40 mata selepas beraksi 19 perlawanan liga manakala IFC berjaya memungut 42 mata sekali gus berada di kedudukan kedua terbaik dalam carta.