IMPAK persiapan ke Sukan Asia Hangzhou terus membawa faedah kepada skuad wushu negara, apabila membawa pulang masing-masing satu pingat emas dan gangsa di Kejohanan Sukan Kombat Dunia yang berlangsung dua hari di Riyadh, Arab Saudi.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) Datuk Chong Kim Fatt berkata, beliau yakin impak latihan selama sebulan di Beijing ketika melakukan persiapan ke Temasya Sukan Asia ke-19, masih memberi kesan kepada pencapaian itu.

Tan Cheong Min memperbaiki pencapaian di Hangzhou.

“Terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) yang banyak menyokong.

“Nampaknya latihan di Beijing masih memberi kesan kepada atlet, selepas balik dari Hangzhou, atlet kita cukup masa menjalani latihan dan bertolak ke Arab,” kata Kim Fatt, ketika dihubungi.

Pada kejohanan terbabit, Tan Cheong Min meraih 19.486 mata dalam acara akhir Nanquan + Nandao wanita, sekali gus meraih pingat emas mengatasi wakil dari Uzbekistan pingat perak (19.292) dan atlet Iran gangsa (18.950).

Pang Pui Yee bukan hanya membuktikan dia mampu menyumbang kepada pasukan malah membuktikan usahanya selama ini berbaloi.

Pang Pui Yee pula meraih gangsa dalam acara Jianshu + Qiangshu wanita.

Pui Yee mengumpul 19.392 mata tewas kepada atlet Macau dan Iran.

Sementara itu, Tan Zhi Yan terlepas pingat gangsa dalam acara Taijiquan + Taijijian lelaki setelah sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan 19.153 mata.

Secara keseluruhan, skuad wushu negara menamatkan saingan dalam acara Taolu di kedudukan ketiga di belakang China dan Macau.