IMPIAN menjadi kenyataan bagi 12 pemain MBSB Bank Championship 2023 yang terpilih untuk menjalani latihan serta program ‘Dare to Dream’ bersama Wolverhampton Wanderers FC (Wolves) iaitu kelab gergasi yang sedang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Latihan seminggu yang akan diadakan pada awal tahun 2024 di Compton Park Training Ground, England bersama Wolves FC merupakan anjuran MBSB Bank sebagai penaja rasmi kempen MBSB Bank Championship 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Berhad, Datuk Nor Azam M.Taib yakin melalui kolaborasi antara pihak MBSB, Amateur Football League (AFL) dan Wolves FC, ianya akan membantu mencungkil bakat-bakat muda dari peringkat akar umbi untuk lebih berjaya dalam bidang bola sepak.

“Selain itu, program ‘Dare to Dream’ ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui sukan malah ianya memupuk sifat menabung dan celik kewangan di usia muda menerusi produk Akaun Simpanan M-Junior.

“MBSB Bank juga akan sentiasa berusaha untuk memastikan pendekatan yang kreatif dan dekat dengan jiwa pelanggan selain mempunyai misi utama bagi menganjakkan mutu bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya dalam kenyataan media pada majlis pengumuman pemain MBSB Bank Championship 2023 yang akan mengikuti program “Dare to Dream”.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Muhd Fuad menegaskan supaya 12 pemain yang dipilih itu perlu memanfaatkan peluang besar ini dan dijadikan nilai tambah dalam perjalanan karier masing-masing sebagai pemain bola sepak.

“Inisiatif dalam mengetengahkan bakat muda yang terpendam dalam rantaian bola sepak ini mungkin akan memberi impak besar kepada pemain terpilih, seperti menggalas cabaran pasukan-pasukan kelab mahupun kebangsaan satu hari nanti.

“Walaupun pada awalnya agak rumit untuk memastikan program ini berjaya kerana agak ramai yang meragui usaha murni kami, namun dengan kerjasama pihak MBSB dan AFL telah membuktikan impian yang akan menjadi kenyataan ini,” katanya.

Dalam 12 senarai pemain bertuah yang telah dipilih minggu lalu, dua pemain daripada pasukan yang menjadi juara Al-Ikhsan Cup 2023 iaitu UiTM United telah layak secara merit untuk menyertai program ‘Dare to Dream’ ini.

Sesi penilaian bagi pemain yang lain telah dikendalikan oleh Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt bersama jurulatih lain telah menetapkan enam ujian termasuk dari aspek kepantasan, ketangkasan, kemahiran teknik, dan simulasi perlawanan sebenar.

 

Senarai 12 pemain yang dipilih menyertai “Dare To Dream”
1 – Muhamad Ikmal Mohd Idris (KL Rovers / Penyerang)
2 – Muhamad Rafie Mat Yaacob (KL Rovers / Penyerang)
3 – Muhamad Rafie Kamaruzzaman (Imigresen FC / Pertahanan)
4 – Muhammad Hazim Abu Zaid (Imigresen FC / Pemain Tengah)
5 – Izzat Abd. Rahim (PIB Shah Alam FC / Penjaga Gol)
6 – Shahrul Igwan Samsudin (PIB Shah Alam FC / Pertahanan)
7 – Muhamad Aizat Safuan Razali (Manjung City FC / Pemain Tengah)
8 – Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi (Manjung City FC / Pertahanan)
9 – Muhammad Darwisy Abdullah (Malaysian University / Pemain Tengah)
10 – Muhammad Fathullah Fazilisham (Naga Ultimate KS FC / Pemain Tengah)
11 – Pengiran Mohamad Ilham (UiTM United / Pertahanan)
12 – Zikry Bin Mohd Hafis (UiTM United / Pemain Tengah)