CITA-CITA peribadi Nafuzi Zain untuk membawa pasukannya Terengganu FC (TFC) bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pentas final tercapai.

Ia selepas kelab pantai timur itu mara ke perlawanan akhir Piala FA dengan menumpaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan penalti di Kuala Nerus, pada Sabtu.

“Saya berkeinginan nak berjumpa sangat JDT di final. Sebagai jurulatih selama tiga musim selalu berjumpa di separuh akhir, kita terkandas disitu.

“Impian saya nak jumpa JDT di final dan Alhamdulillah yang penting kita sampai ke final.

“Tahun lepas kita separuh akhir Piala Malaysia (2019 sebelum Covid-19) dan kita suku akhir terkandas dengan JDT,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sambil mengakui bukan senang berdepan JDT nanti, pengendali berusia 44 tahun asal Kelantan itu mahukan para pemain tenang tanpa tekanan dan menikmati permainan dengan bermain bola seperti biasa.

“Memang kita sasar kejuaraan dan jika menang bonus,” katanya enggan memikirkan lagi aksi berikutnya ‘pra-final’ melayan kunjungan JDT di Liga Super pada 10 Ogos ini.

Dia juga berterima kasih kepada pengurusan TFC yang memberi peluang mengepalai kelab sehingga ke tahap sekarang.

“Saya masih mentah dan masih lagi belajar. Bukan senang dapat jadi jurulatih pasukan utama dan negeri,” katanya lagi.