KELAB Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah merealisasikan impian seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kronik berusia sembilan tahun, Muhammad Rayyan Mikail Mohd Yazid.
Menerusi perkongsian hantaran terbaru Johor Southern Tigers pada Jumaat, kelab JDT memenuhi hasrat Muhammad Rayyan Mikail untuk melawat Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan bertemu pemain Harimau Selatan.
Rayyan, peminat JDT yang menghidap penyakit jantung sianotik kompleks dan penyakit paru-paru kronik, dibawa mengelilingi stadium ikonik hari ini.
Dalam kunjungan itu, adik Muhammad Rayyan Mikail yang mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Terap dan ditempatkan dalam pendidikan khas gembira dapat bertemu dengan dua pemain idolanya, Safiq Rahim dan Safawi Rasid.
Sesi kunjungan istimewa ini juga disertai oleh ibu bapanya, Mohd. Yazid Lazim dan Annur Syakirah Mahazir serta dua adiknya, Nur Raisha Mikayla dan Nur Raihana Malaika.
“Terima kasih all JDT family yang sudi menerima kedatangan anak syurga kami. Salam sayang dari utara,” kata Annur Syakirah.
FLASH SUKAN mendoakan semoga semangat perjuangan adik Muhammad Rayyan Mikail ini akan terus kuat dan lebih bersemangat selepas impiannya menjadi kenyataan.
Kepada Allah kami berserah…