PEMAIN naturalisasi negara, Lee Tuck nyata gembira dengan prestasi dirinya dan juga pasukan kebangsaan apabila berjaya merakam dua kemenangan dalam dua perlawanan antarabangsa menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Tuck yang masuk pada babak kedua dilihat berjaya merubah rentak permainan namun dia tidak merasakan dirinya adalah pemain yang penting sebaliknya hanya menurut arahan barisan kejurulatihan.

Pemain Sri Pahang itu juga sedar akan kesukaran yang bakal dihadapi di kejohanan Piala AFF nanti tetapi dia percaya dengan kemampuan rakan sepasukan serta perancangan jurulatih.

Lee Tuck

 

“Ianya bagaikan mimpi jadi kenyataan apabila saya berjaya menjaringkan dua gol dari dua perlawanan. Selain itu dua persembahan baik dari pasukan juga akan meningkatkan lagi tahap keyakinan kami dan akan gunakan peluang ini sebagai pemangkin semangat menjelang kejohanan sebenar nanti.

“Saya tidak pernah berfikir untuk menjadi perubah permainan tetapi saya hanya mahu memberikan impak segera apabila dimasukkan dan hanya mengikut arahan jurulatih. Kami bermain sebagai satu pasukan tanpa individu bertaraf bintang dan mempunyai pemain yang bagus di setiap bahagian di mana di situlah kekuatan kami.

“Kini fokus utama kami adalah untuk menjuarai kejohanan Piala AFF ini. Kami akan ambil pendekatan satu perlawanan setiap masa dan sedar cabaran akan menjadi lebih hebat tetapi kami hanya perlu mengikut pelan yang sudah disediakan oleh barisan kejurulatihan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Tuck juga berkongsi rahsia dia mengekalkan kecergasan meskipun tidak bermain di peringkat liga dan dia sangat berbangga untuk berada dalam skuad ini yang dianggapnya sangat akrab meskipun terpaksa bersaing hebat antara satu sama lain.

“Sudah 11 bulan saya tidak bermain bola sepak sebenar. Saya hanya fokus kepada disiplin, komitmen dan kekuatan mental untuk melihat perkara dari sudut yang lebih luas.

“Saya berlatih bersendirian dan bekerja keras bersama teman sepasukan dalam latihan bagi sentiasa mempersiapkan diri untuk peluang seperti ini kerana saya sudah berusia 34 tahun dan saya perlu berikan segalanya ketika masih boleh bermain.

“Keakraban dalam pasukan ini sangat hebat. Kami tenang dan serasi bersama meskipun kami terpaksa bersaing sesama sendiri. Ketika kami meraikan gol kesemua pemain ada bersama dan inilah bola sepak dan saya bangga dengan saat ini,” tambahnya.

Lee Tuck melakukan debut ketika Malaysia bertemu Kemboja Jumaat lalu dan berjaya menjaringkan dua gol dari dua perlawanan dan kini bersedia untuk membantu Harimau Malaya membawa pulang trofi Piala AFF kembali semula ke Malaysia.