CHEN Tang Jie tidak melupakan impian besar yang pernah dikongsinya lebih setahun lalu, mahukan pasangan tetap dan beraksi di Sukan Olimpik, malah impiannya semakin membuak-buak.

Tang Jie, 26, berkata, dia tidak lagi muda dan situasi ketika ini, menjadi peluang terbaik untuk dia dan Toh Ee Wei beraksi di Sukan Olimpik yang menjadi impian setiap atlet.

“Sememangnya saya lebih bersemangat dan mahu beraksi di Olimpik.

“Pencapaian sekarang belum cukup memuaskan hati lagi. Jika saya cakap sudah puas, apalah sangat pencapaian yang saya ada berbanding dua jurulatih saya (Nova Widianto dan Rexy Mainaky).

“Mereka pemain legenda dan banyak lagi yang perlu saya belajar daripada mereka,” kata Tang Jie.

Chen Tang Jie belum berpuas hati dengan pencapaiannya kini, meskiopun sudah berada dalam kelompok Top 10 dunia.

Selepas digandingkan dengan Yap Ling pada 2022, Tang Jie bagai terkapai-kapai mencari hala tuju masa depannya, apabila gandingan itu tidak menjadi sehingga dia memohon pada jurulatih untuk mencari formula baharu.

Tang Jie menyuarakan kebimbangan sekiranya gagal mendapat peluang beraksi di Olimpik namun segala-galanya berubah sebaik dia digandingkan dengan Ee Wei.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky (dua dari kiri) dan jurulatihnya Nova Widianto (paling kiri), menjadi penanda aras pencapaian yang mahu dicapai Chen Tang Jie.

Perubahan lebih ketara sebaik Nova Widianto mula melatih mereka Januari tahun lalu, apabila mula melakar kejutan dengan mara ke suku akhir Terbuka Malaysia yang bertaraf Super 1,000, menjuarai Cabaran Antarabangsa Iran Fajr, Juara Orleans Masters Perancis (Super 300), separuh akhir Terbuka Singapura (Super 750), juara Terbuka Taiwan (Super 300), suku akhir Kejohanan Dunia, separuh akhir Terbuka China (Super 1,000), separuh akhir Terbuka Arctic Finland (Super 500) dan Korea Masters (Super 300) dan suku akhir Kumamoto Masters Jepun (Super 500).

Malah mereka kin menghuni tangga kesembilan dunia dan berada di kedudukan kesembilan perlumbaan kelayakan Olimpik Paris.