SELANGOR FC kini sudah pun memiliki sekurang-kurangnya enam calon import membabitkan posisi penyerang dan tengah bagi memperkuatkan musim 2023.

Ketika ini enam calon import berkenaan sedang dinilai oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa, berkata setakat ini belum ada keputusan muktamad namun keutamaannya adalah mendapatkan pemain terbaik bagi meletakkan Red Giants sebagai salah satu pencabar kejuaraan musim depan.

“Kita pun nak bersaing, Amerika Latin ada, Afrika ada malah calon tempatan juga ada namun setakat ini kami belum ada jawapan. Setakat ini kesemuanya kami engah menilai.

“Ada enam hingga tujuh calon yang sedang dinilai, selepas iu bergantung kepada Cheng Hoe.

“Kami tidak boleh terburu-buru sebaliknya kena lebih behati-hati sebelum buat keputusan,” katanya.

Noor Al-Rawabdeh

Bagi musim 2023, Gergasi Merah Kuning mengekalkan Yazan Al-Arab, Hein Htet Aung, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan sudah membawa masuk pemain inport baharu dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh.

Cheng Hoe  sebelum ini menegaskan bersedia untuk tidak melengkapkan kuota sembilan import bagi memberikan peluang kepada pemain tempatan.

“Sama ada nak menggunakan kuota sembilan pemain import atau tidak sudah tentulah kita kena tengok kepada bajet dan keperluan pasukan.

“Kena tengok pada setiap posisi berkaitan, adakah import diperlukan dan pastinya kalau ada peluang, memang kita mahukan sembilan pemain import.

“Tetapi sebagai jurulatih, sudah tentu saya juga akan fikirkan pemain tempatan yang saya percaya mereka tetap boleh memberi saingan kepada pasukan,” tegasnya yang juga bekas pengendali Harimau Malaya.