SIAPA bakal menjadi lawan kepada skuad Harimau Malaya di Pestabola Merdeka 2023 terjawab apabila Malaysia diundi bertemu India selepas majlis undian yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

India, pasukan di tangga ke-99 dunia bukanlah muka baharu dalam kejohanan penuh sejarah ini apabila membuat penampilan ke-17 sejak kejohanan ini bermula pada 1957 dan pernah muncul naib juara sebanyak dua kali pada 1959 dan 1964.

Dalam satu lagi perlawanan, Palestin dan Lebanon akan berentap dengan kedua-dua pemenang perlawanan bakal bermain di perlawanan akhir manakala pasukan yang tewas akan bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada 17 Oktober 2023.

Trofi yang menjadi rebutan empat pasukan

Edisi ke-42 Pestabola Merdeka kali ini berlangsung pada kalendar antarabangsa Fifa dan mata ranking akan menjadi rebutan keempat-empat pasukan dan juga sebagai persiapan menjelang Piala Asia AFC pada Januari 2024.

Kali terakhir Malaysia muncul juara kejohanan ini adalah pada 2013 dimana ketika itu skuad bawah 23 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan pasukan bawah 23 tahun Myanmar.

Kejohanan kali ini juga bakal menyaksikan pelbagai aktiviti dijalankan bagi merancakkan kembali kemeriahan Pestabola Merdeka yang kembali dianjurkan selepas 10 tahun.

Antara aktiviti yang telah dirancang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah program jelajah, pertandingan bola sepak bawah umur, aktiviti larian dan bermotosikal, perlawanan mengumpul derma serta Ziarah Kasih Legenda Pestabola Merdeka.

Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon gembira dengan keputusan undian dan meletakkan sasaran untuk layak ke final seterusnya muncul juara bagi menggembirakan rakyat Malaysia.

“India adalah lawan yang baik buat kita dan saya meletakkan sasaran untuk layak ke final seterusnya muncul juara bagi menggembirakan rakyat Malaysia yang sentiasa di belakang pasukan,” katanya selepas majlis undian.