SYARIKAT minyak terbesar India, IndianOil dengan bangga mengumumkan kerjasama bersama Two Wheels Motor Racing sebagai rakan bahan bakar rasmi untuk Federation Internationale De Motocyclisme (FIM), Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selama tiga tahun.
Dalam memeterai perjanjian yang berlangsung dari tahun 2024 hingga 2026 ini, IndianOil akan menyediakan bahan bakar perlumbaan kategori 2 FIM, iaitu ‘STORM-Ultimate Racing Fuel’ pada semua pusingan ARRC.
Presiden IndianOil, Shrikant Madhav Vaidya dalam masa yang sama turut melahirkan rasa bangga dan teruja dengan kerjasama antara pihaknya bersama TWMR untuk Kejohanan ARRC yang bakal berlangsung.
“IndianOil dengan bangga menjadi sebahagian penyumbang kekuatan kepada perlumbaan dengan bahan bakar inovatif kami, ‘STORM-Ultimate Racing Fuel’.
“Bahan bakar ini adalah simbol inovasi dan keunggulan, mencerminkan usaha tanpa henti kami dalam mengembangkan bahan bakar khas yang mematuhi piawaian antarabangsa yang ketat.
“Kerjasama ini turut menandakan langkah penting dalam memperkukuh inisiatif jenama buatan India di peringkat global,” ujarnya.
Sementara itu, Ron Hogg selaku Pengarah Promosi TWMR menyatakan bahawa jalinan bersama IndianOil adalah sebagai salah satu pencapaian terbesar buat arena sukan permotoran.
“Kerjasama bersama syarikat korporat minyak terbesar di rantau ini dan secara global, merupakan suatu pencapaian terpenting dalam industri perlumbaan (permotoran).
“Dengan kehadiran IndianOil di ARRC untuk tiga musim ini, saya percaya ianya akan memberi sumbangan besar dalam memenuhi keperluan dan tuntutan industri dan masyarakat, sambil membantu kami mencapai matlamat jangka panjang terutamanya dalam memperluas kehadiran jenama ini kepada demografi yang lebih luas,” ujarnya.
Pusingan 1 ARRC akan bermula pada 15 Mac 2024 di Chang International Circuit dan akan diteruskan dengan kejuaraan enam pusingan di lima negara berbeza dalam rantau Asia, termasuk China, Jepun, Indonesia, dan Malaysia.