JELAS terpancar kepuasan di wajah pengendali Harimau Muda Bawah-16 (B-16), Osmera Omaro apabila melihat anak buahnya layak ke Piala Asia B-17 tahun depan dan muncul sebagai juara Kumpulan B.

“Pemain bermain seperti yang dirancang. Kredit juga kepada Indonesia yang merupakan pasukan yang bagus, tetapi pada malam ini pemain kita lebih berdisiplin,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan di Stadium Pakansari, Bogor di sini.

Sementara itu, pengurus pasukan Malaysia B-17, Christopher Raj berpuas hati kerana sasaran untuk layak ke Piala Asia 2023 tercapai walaupun berdepan laluan sukar selepas diundi dalam kumpulan maut.

“Ini semua tentang kerja berpasukan yang mana kami bekerja keras kerana saya percaya kerja keras mengalahkan bakat pada bila-bila masa.

“Ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan dan kita kini mesti merancang untuk Piala Asia,” katanya.

Skuad kali ini mengulangi kembali pencapaian P. Somasundram yang membimbing negara layak ke pusingan akhir secara merit pada 2016 di India.