CHINA dipercayai sudah mengkaji corak permainan pemain nombor dua dunia, Aaron Chia- Soh Wooi Yik.
Hal itu disuarakan Aaron Chia sendiri sejurus selepas gandingan utama negara itu, terkandas di suku akhir Indonesia Masters, semalam.
Berdepan He Ji Ting-Zhou Hao Dong semalam, juara dunia itu tewas 17-21, 10-21, sekali gus menjadikan rekod pertemuan mereka kini 1:1.
Sebelum ini Aaron dan Wooi Yik mengatasi pasangan terbabit pada Kejohanan Badminton Asia, tahun lalu.
Menurut Aaron,perlawanan pusingan kedua menentang Liang Wei Keng-Wang Chang kelmarin, dipercayai menjadi panduan buat jurulatih China memberi input berguna buat Ji Ting-Hao Dong.
“Sebelum ini kita sudah lawan ramai beregu China, jadi daripada situ mereka dapat membaca corak permainan kami di dalam gelanggang. Mungkin mereka sudah kaji bagaimana taktikal dan strategi kami.
“Selain itu, mereka juga memanfaatkan kelebihan yang mereka ada ketika bermain menentang kami pada perlawanan hari ini (kelmarin),” kata pemain kelahiran Melaka itu.
Pada masa sama, Aaron juga tanpa berselindung mengakui, dia dan Wooi Yik melakukan beberapa kesilapan mudah sepanjang perlawanan, terutamanya di set pertama sehingga membolehkan pemain lawan mendapat mata percuma.
“Sebenarnya, kami ada lakukan banyak kesilapan mudah ketika berdepan mata penting walaupun sesekali memimpin perlawanan. Banyak silap seperti bulu tangkis tersangkut di jaring dan pukulan tidak menjadi,” ujarnya.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik masih belum memenangi sebarang gelaran dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) selepas mereka mula digandingkan sejak enam tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka masih boleh berbangga apabila menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara dunia selepas memenangi Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun Ogos tahun lalu.