KONTINJEN Indonesia di Sukan Olimpik Paris 2024 pastinya akan mengingati tanggal 8 Ogos 2024 sebagai tarikh bersejarah apabila meraih dua pingat emas sekali gus dari sukan memanjat dan angkat berat.
Tambah manis, kedua-dua pingat emas ini adalah kejayaan pertama Indonesia meraih podium tertinggi di Sukan Olimpik menerusi sukan selain badminton selepas seringkali menjadi raja di gelanggang badminton.
Lagu Indonesia Raya berkumandang di bumi Paris buat kali pertama selepas Veddriq Leonardo memenangi acara ‘speed climbing’ dengan menewaskan lawan dari China Wu Peng yang hanya dipisahkan 0.02 saat.
Kejayaan Veddriq disambut meriah selepas Indonesia kelihatan agak sukar untuk meraih emas di Temasya Paris selepas atlet-atlet badminton mereka gagal menyerlah dan pulang dengan hanya satu pingat gangsa hasil tempat ketiga perseorangan wanita, Gregoria Mariska Tunjung.
Berselang beberapa jam, kem Indonesia memperolehi berita baik berganda apabila atlet angkat berat, Rizki Juniansyah berjaya memenangi pingat emas bagi kategori 73kg sekaligus pingat emas kedua buat Indonesia.
Rizki berjaya melakukan angkatan 354kg hasil angkatan 155kg bagi ‘snatch’ dan 199kg bagi disiplin ‘clean and jerk’ sekaligus memecahkan rekod Olimpik dan memenangi pingat emas di hadapan badang Thailand dan Bulgaria.
Presiden Indonesia, Joko Widodo turut merakamkan ucapan tahniah kepada Veddriq menerusi hantaran di laman Instagram peribadinya dengan menganggap kejayaan atlet itu sebagai satu kebanggaan buat seluruh bangsa Indonesia.
Dengan kutipan dua pingat emas ini, Indonesia kini menduduki tangga ke-28 keseluruhan pemenang pingat dengan dua emas dan satu gangsa manakala Amerika Syarikat unggul dengan 30 emas ketika saingan berbaki empat hari untuk ditamatkan.