JURULATIH skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong mahu keputusan perlawanan menjadi bukti ranking bukanlah ukuran selepas para pemainnya menampilkan aksi membanggakan untuk menewaskan Burundi, 3-1 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa.

Indonesia ditangga ke-151 ranking dunia berjaya mempamerkan aksi yang dominan hingga mendahului 3-0 pada babak pertama ketika menentang Burundi yang menduduki ranking ke-141 dunia di Stadion Patriot Candrabhaga, Bekasi pada Sabtu.

Tiga gol pada babak pertama itu dijaringkan oleh Yakob Sayuri, Dendy Sulistyawan dan Rizky Ridho manakala gol saguhati Burundi dijaringkan oleh Pacifique Niyongabire

 

Shin Tae-yong juga memuji barisan pertahanannya dengan gandingan Elkan Baggot dan Jordi Amat dilihat sebagai punca utama skuad Garuda mampu beraksi dengan baik terutama pada babak pertama.

“Biarkan keputusan yang berbicara kerana kita semua sudah tahu yang para pemain sudah bermain dengan baik untuk mencatat kemenangan ini. Semuanya berada dalam keadaan yang baik hari ini dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada para pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun, jurulatih Korea Selatan di Piala Dunia Fifa 2018 itu terus mengingatkan anak-anak buahnya supaya terus fokus dalam perlawanan kedua menentang lawan yang sama pada Selasa.

Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong.

“Kita berjaya menjaringkan tiga gol pada babak pertama dan selepas itu kita hanya melihat dan menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh Burundi dan akhirnya kemenangan menjadi milik kita. Oleh itu kita tidak boleh dibuai dengan kemenangan ini dan perlu segera mempersiapkan pasukan untuk aksi seterusnya,” tegasnya.

Kemenangan ini diharap dapat menaikkan semula ranking dunia Indonesia dengan Tae-yong menuntut aksi yang lebih mantap dari para pemainnya untuk pertemuan kedua pada Selasa di venue yang sama.

Dalam tiga lagi aksi perlawanan persahabatan antarabangsa yang melibatkan pasukan Asean, Thailand tewas 1-3 kepada Syria, Laos menang ke atas Bhutan 2-1 manakala peluang Myanmar melakar kejutan terhadap Kyrgyzstan tidak berjaya apabila dibolosi pada minit akhir untuk keputusan seri 1-1.