Foto: Ace Sports And Management
ATLET skuasy negara, Chan Yi Wen berjaya meraih gelaran juara pada pusingan kelayakan Zon Asia Kejohanan Skuasy Dunia yang berlangsung pada Ahad.
Yi Wen yang mengakui bahawa dirinya sanggup berkorban dan enggan menuruti nasihat doktor untuk berehat selama tiga bulan telah memperlihatkan kegigihannya yang nyata membuahkan satu hasil bermakna.
Kejayaan atlet berusia 24 tahun yang beraksi dalam keadaan kurang cergas pada saingan tersebut sekali gus melayakkan dirinya untuk beraksi buat kali pertama di Kejohanan Skuasy Dunia yang akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada 9 hingga 18 Mei depan.
Yi Wen yang mengambil keputusan untuk ‘melanggar’ nasihat doktor supaya berehat akibat kecederaan buku lali yang ditimpa pada Februari lalu, boleh dianggap satu perkara positif untuknya.
“Saya disahkan mengalami kecederaan ligamen buku lali dan koyak pada ligamen pada Februari lalu. Doktor beritahu bahawa saya sepatutnya berehat tiga bulan tetapi saya cakap tidak boleh kerana saya perlu bermain kejohanan penting tahun ini.
“Saya berkata kepada doktor, percaya pada saya kerana saya mampu lakukan satu keajaiban.
“Jadi, saya menjalani fisioterapi dan ia sedikit sebanyak membantu saya untuk turun bersaing pada kejohanan ini. Saya gembira kerana berjaya meraih slot ke kejohanan dunia buat kali pertama,” kata Yi Wen selepas perlawanan final hari ini.
Sementara itu, bagi skuasy kategori lelaki pula, hasrat wakil negara, Addeen Idrakie Bakhtiar untuk muncul juara di hadapan penyokong telah gagal apabila ditundukkan oleh pilihan pertama kejohanan.
Pemain sensasi dari Jepun, Ryunosuke Tsukue ternyata berada di prestasi terbaik apabila tiada masalah besar untuk menundukkan Addeen 11-9, 11-8, 11-3 selama 47 minit.