PENGERUSI Eksekutif XOX Berhad, Datuk Seri Azim Zabidi memberitahu tempoh persetujuan untuk mengambil alih Perak FC hanya berlangsung seminggu sahaja.
Jelasnya, ia adalah perancangan yang laju dan cepat untuk bersetuju sehingga mencapai kata sepakat bersama pemilik lama.
“XOX mula tunjuk minat pada Perak FC baharu seminggu untuk sampai ke tahap ini adalah perancangan laju dan cepat.
“Kita dah bincang dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) semalam (Khamis) dan diberi dua minggu untuk selesai semuanya.
“Ini akan memberi kelegaan kepada pemain-pemain tetapi bagi pemilik kita lihat mungkinlah ianya satu musim transisi di mana pemilik lama akan serah semuanya dan kita perlukan masa untuk melihat pelbagai perkara dalam Perak FC dari segi kejurulatihan, latihan dan sebagainya.
“Cita-cita kita cukup tinggilah. Tetapi yang penting dalam tempoh transisi ini kita tidak mahu kelab pupus dan harap masih kekal. InsyaAllah jika ditakdirkan kita boleh naik ke Liga Super,” jelasnya dalam satu majlis persetujuan penyerahan pasukan pada Jumaat.
Menurut Azim, XOX bukan baharu dalam dunia sukan memandangkan turut terlibat dalam sukan pemotoran tanah air.
“Dengan sedikit pengalaman yang ada dalam pasukan pemotoran, ONEXOX TKKR SAG Team merupakan pasukan yang tersohor di Asia, jadi kita akan gunakan ‘template’ itu untuk memastikan bahawa Perak FC pun mendapat tempat yang lebih baik daripada sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu Azim mengakui antara faktor yang membuatkkannya bersetuju untuk mengambil alih Perak FC ini kerana beliau turut merupakan anak jati Perak serta yakin Perak FC mempunyai peluang yang kukuh untuk kembali mempamerkan taring pasukan ini.
“Punca yang kita ambil adalah ia adalah sebuah kelab bola sepak yang unggul di negara kita, untuk lihat dia mati amat menyedihkan, lebih-lebih lagi untuk saya sendiri kerana saya orang Perak,” tambahnya.