JURULATIH skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengapa Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Kemboja dan Maldives sebagai aksi pemanas badan menjelang Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Selepas mengadakan perbincangan, kedua-dua lawan ini dipilih berdasarkan kesesuaian jadual perjalanan skuad kebangsaan selain lawan ini sangat sesuai sebagai pasukan uji cuba bagi mengenalpasti beberapa kelemahan sebelum beraksi di pertandingan yang sebenar.
“Skuad Harimau Malaya akan berdepan Kemboja pada Jumaat, 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Maldives pada Rabu, 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai perlawanan pemanas badan menjelang saingan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 21 Disember 2022.
Pemilihan Aksi Pemanas Badan Bertemu Kemboja & Maldives Bersesuaian Dengan Persiapan Harimau Malaya Menjelang Piala Mitsubishi Electric AFF 2022
▶️ Baca kenyataan penuh Kim Pan Gon di https://t.co/jeAKfzHOmL#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/WOA9mz9hAg
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 31, 2022
“Selepas turut berbincang dengan beberapa pasukan lain serta melakukan penilaian secara dalaman dari pelbagai aspek, akhirnya keputusan dibuat untuk menerima pelawaan daripada pasukan kebangsaan Kemboja dan Maldives untuk dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 ini.
“Biarpun kedua-dua pasukan ini berada di kedudukan lebih rendah berbanding skuad Harimau Malaya di ranking 146 dunia, dengan Kemboja di ranking 177 dan Maldives di ranking 154, pemilihan ini adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.
“Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar (ranking 158) pada Rabu, 21 Disember 2022 di tempat lawan, sebelum bertemu Laos (ranking 187) pada Sabtu, 24 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Pasukan seterusnya akan berdepan Vietnam (ranking 96) pada Selasa, 27 Disember 2022 di tempat lawan dan aksi terakhir kumpulan menentang Singapura (ranking 160) pada Selasa, 3 Januari 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada perlawanan pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.
“Kita telah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kita kali ini.
“Bagi pertemuan dengan Maldives, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.
“Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti.
“Sudah pasti kedua-dua perlawanan pemanas badan ini dilihat bersesuaian dengan persiapan skuad Harimau Malaya terutama menjelang dua perlawanan awal Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bertemu Myanmar dan Laos, sebelum menentang Vietnam dan Singapura,” tulis kenyataan itu.
Skuad kebangsaan juga mendapat perkhabaran gembira apabila Stadium Nasional Bukit Jalil kekal menjadi ‘home ground’ buat Harimau Malaya bagi aksi peringkat Kumpulan B yang bakal bermula 21 Disember 2022.