SELEPAS membantu Liverpool mengaibkan juara Piala FA, Manchester United 3-0 di Old Trafford, Mohamed Salah mendedahkan yang ini adalah musim terakhirnya di Anfield.
Pemain Mesir itu, yang mengumpul jaringan tertinggi untuk pemain pelawat di Old Trafford dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan tujuh gol, menjaringkan satu gol dan membantu dua lagi untuk Luis Diaz bagi meneruskan permulaan cemerlang di bawah pengendali baharu, Arne Slot.
United langsung tidak bermaya sepanjang permainan, dan hampir dibolosi lebih banyak sekiranya Salah dan rakan sepasukan memanfaatkan beberapa peluang lagi di akhir perlawanan.
Ketika pemain-pemain Liverpool lain meraikan kejayaan, Salah mendedahkan hasratnya selepas perlawanan berkenaan.
“Saya mengharungi musim panas yang bagus, masa yang panjang untuk memikirkan tentang masa depan saya, ini adalah tahun terakhir saya dengan kelab dan saya mahu menikmatinya.
“Saya rasa saya bebas untuk bermain bola sepak – kita lihat apa yang akan berlaku tahun depan. Tidak ada sesiapa di kelab yang bercakap dengan saya berkenaan kontrak. Ia bukan di tangan saya, ia bergantung kepada kelab,” kata Salah, 32.
Slot memulakan karier di England dengan cemerlang selepas menjadi pengendali Liverpool pertama memenangi pertemuan sulung menentang United sejak Bob Paisley pada November 1975, dan yang kedua melakukannya di tempat lawan selepas George Kay pada November 1936.
“Banyak kemungkinannya, tetapi ketika ini dia (Salah) adalah sebahagian daripada kami dan saya sangat gembira dengannya. Saya tidak bercakap tentang kontrak.