KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan perlawanan menentang PDRM FC pada Rabu bukanlah perlawanan yang sukar sebaliknya membosankan dan pasukan lawan langsung tidak memberikan cabaran.

Ini selepas skuad kendalian Azzmi Aziz itu lebih banyak bertahan dan langsung tidak mengancam kubu JDT yang dikawal Syihan Hazmi dengan Harimau Selatan menguasai hampir 85 peratus penguasaan bola meskipun hanya berjaya menjaringkan satu gol untuk kemenangan 1-0 memihak JDT.

Bagaimanapun Solari turut gembira dengan semangat yang ditunjukkan anak-anak buahnya dengan menganggap pencapaian sembilan kemenangan berturut-turut adalah menakjubkan dan dia mahu mereka mengekalkan motivasi dan terus memburu kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

Forestieri meledak gol tunggal kemenangan JDT

“Bagi saya ianya adalah perlawanan yang membosankan dan bukannya sukar serta ianya bukan cabaran bagi kami. Perlawanan yang sukar adalah apabila pasukan lawan memberi kami cabaran tetapi PDRM lebih banyak bertahan dan melambatkan masa. Saya tidak salahkan mereka kerana ini adalah strategi mereka, ini adalah bola sepak dan semua pasukan boleh bermain seperti yang mereka mahukan.

“Sejujurnya saya gembira dengan sikap para pemain dan jika dilihat pada statistik, kami menguasai lebih 85 peratus permainan, membuat lebih 15 percubaan dan mereka langsung tidak mengancam gawang kami. Gembira dengan tiga mata cuma kami gagal berikan jaringan yang lebih buat para penyokong yang hadir.

“Saya rasa bola sepak cantik bila anda menyerang dan ada kreativiti, paling penting adalah persembahan yang anda berikan kepada penyokong kerana jangan lupa bola sepak adalah satu permainan untuk penyokong nikmati, mereka adalah nyawa bola sepak tetapi PDRM bukanlah pasukan yang menggembirakan penyokong,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bergson masih belum mencapai prestasi terbaik 

Solari juga tidak risau dengan aksi Bergson Da Silva yang gagal menyempurnakan penalti sebaliknya dia percaya pemain Brazil itu akan kembali mencapai tahap potensi sebenarnya dan akan menjaringkan lebih banyak gol buat Harimau Selatan selepas ini.

Dalam sidang media yang sama, Solari turut memuji penjaga gol muda PDRM FC, Hakeem Hamidun yang beraksi cemerlang menyelamatkan gawangnya dari dibolosi lebih banyak dan Solari juga menjangkakan JDT akan menghadapi lebih banyak perlawanan seperti ini di masa akan datang.

Kemenangan kesembilan berturut-turut dalam Liga Super ini mengukuhkan lagi cengkaman Harimau Selatan di puncak liga dengan 27 mata, lima mata mengatasi Selangor FC di tangga kedua dan masih kekal tanpa bolos dari permainan terbuka.