PEMAIN sayap berbisa Thailand, Ekanit Panya menambah keresahan pengendali, Masatada Ishii apabila dia membuat keputusan untuk tidak turut serta bersama skuad kebangsaan di Piala Asia untuk kekal bersama kelabnya, Urawa Red Diamond.
Ekanit yang mencipta sejarah muncul pemain Asia Tenggara pertama yang disenaraikan ke Piala Dunia Kelab Asia di Arab Saudi baru-baru ini membuat keputusan untuk menyertai latihan di bawah kendalian jurulatih baharu Per-Mathias Høgmo.
Perkara ini menjadi perdebatan di laman sosial antara penyokong skuad Changsuek selepas Thailand kehilangan tiga pemain utama – Teerasil Dangda, Chanatip Songkrasin dan Thitipan Puangchan ekoran kecederaan.
Sikap menolak untuk menyertai skuad kebangsaan ini bukanlah perkara baharu dalam bola sepak Thailand apabila ianya seringkali berlaku yang menyaksikan kelab tidak memberikan kerjasama untuk melepaskan pemain.
Ishii pernah menjawab soalan ketika ditanya apakah perbezaam antara pemain kebangsaan Thailand dan Jepun ketika mula mengambil alih tugasan ketua jurulatih daripada Mano Polking, akhir tahun lalu.
“Di Thailand ada beberapa pemain yang dipanggil dan tidak mahu hadir kerana mahu berehat. Di Jepun, mewakili pasukan kebangsaan adalah satu kebanggaan dan jika mereka cedera sekalipun, mereka masih hadir,” jelasnya.
Akibatnya, Thailand kini berdepan masalah untuk membariskan kesebelasan terbaik menjelang aksi pembukaan Kumpulan F Piala Asia menentang Republik Krygyz pada 16 Januari.
Ishii membuat keputusan untuk memanggil pemain sayap Muangthong United, Picha Autra sebagai pengganti Ekanit sebelum berlepas ke Qatar untuk mengharungi perlawanan Kumpulan F bersama-sama Arab Saudi, Republik Krygyz dan Oman.