PELUMBA muda negara, Syarifuddin Azman yang lebih mesra disapa Damok nyata sudah bersedia bagi menghadapi saingan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 21 hingga 23  Oktober ini.

Secara peribadi, dia mensasarkan berada di podium namun tetap menyahut seruan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif yang mahu dirinya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.

Manakala, PETRONAS pula meletakkan Damok untuk berada antara lima pelumba terbaik dalam saingan kali ini.

“Alhamdulillah saya sudahpun siapkan mental dan fizikal saya pada bulan lepas. Saya memang sedia untuk perlumbaan kali ini di Home GP saya sendiri. Saya akan tunjuk kepada peminat yang saya boleh buat.

“Sasaran peribadi adalah untuk berada di atas podium tetapi saya perlu juga sahut cabaran dari CEO saya sendiri untuk 10 terbaik dan 5 lima terbaik dari PETRONAS.

“Ya. mampu capai sasaran seba ini trek saya sendiri, jadi memang makanan saya. Saya tahu dekat mana boleh memintas pelumba lain,” ujarnya ketika ditemui media di Taman Tugu, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas tentang apa yang bakal dilakukan sekiranya hujan, dia tampil menjelaskan akan lebih berhati-hati kerana ia tentunya sukar untuk beraksi dalam keadaan trek yang licin.

Bermain di laman sendiri, Damok yang beraksi bagi kategori Moto3 mengakui wujudnya tekanan apabila beraksi di hadapan peminat-peminat sendiri.

“Dalam masa yang sama juga, saya perlu melihat cuaca juga sebab sekarang hujan. Kalau hujan di Sepang ini cuacanya agak licin. Jadi di situ, saya perlu berhati-hati dan saya perlu mencari setup terbaik sekiranya hujan.

“Tekanan itu mesti ada. Gemuruh pun ada sebab bermain di tempat sendiri tetapi saya akan cuba buat yang terbaik,” jelasnya.

Meskipun terjatuh dua kali pada Kejohanan Junior GP di Misano, Itali namun ia tidak mematahkan semangat pelumba tersebut apabila tetap yakin jentera yang sama mampu menghadirkan kejayaan untuk kejohanan kali ini.

“Sekarang ini, saya akan membawa jentera yang sama di Junior GP. Jadi di sini, saya perlu lebih banyak bertanya kepada mekanik tentang keadaan persediaan jentera saya. Pasukan saya sudah buat yang terbaik untuk jentera saya.

“Pada  minggu lalu, saya bergelut dengan jentera saya sendiri. Disebabkan saya jatuh dua kali, dan motorsikal saya hancur dan di Malaysia, mereka telah membuat persiapan terbaik serta saya tidak berasa terganggu kerana perkara tersebut,” katanya.

Damok beraksi sebagai pelumba ‘wildcard’ dengan menggunakan jentera  HONDA NSF 250 RW.

Dalam saingan kali ini, dia bakal bersaing dengan pelumba pasukan Vision Track dari United Kingdom  serta pada keseluruhannya menempatkan 30 orang pelumba yang bakal berentap sesama sendiri merebut podium.

Untuk keseluruhan dalam saingan FIM Junior GP musim ini, Damok berjaya menamatkan kedudukan keseluruhan di tempat ke-4.

Selepas kejohanan di laman sendiri, Damok akan mengharungi Junior GP seterusnya di Valencia dari 29 hingga 30 Oktober 2022.