KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojak Hodak menerima kekalahan 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menganggap pasukan dihukum atas kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan.

Bojan juga mengakui mempunyai skuad yang kecil dan sukar untuk membentuk pasukan apabila kehilangan ramai pemain utama akibat kecederaan dan juga ada pemain yang kurang sihat.

“Ianya adalah keputusan yang tidak baik. Kami mempunyai skuad yang kecil dan apabila kehilangan lapan pemain, anda boleh melihat kesannya. JDT menghukum kami setiap kali kami melakukan kesilapan. Inilah perbezaan di antara pasukan Liga Juara-Juara AFC berbanding kami yang bermain di Piala AFC.

“Kekalahan ini sudah pasti menjejaskan mental pemain. Kadang kala ianya bagus untuk kalah tetapi bukanlah dengan cara begini. Banyak yang perlu kami perbaiki dan cabaran sekarang adalah untuk menaikkan semula semangat para pemain,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan pada Isnin.

Ditanya sama ada KL City mempunyai masa yang mencukupi untuk menghadapi peringkat separuh akhir zon Asean menentang wakil Vietnam Viettel FC, Bojan berkata dia mempunyai masa yang mencukupi sebelum terbang ke Ho Chi Minh City.

“Kami akan menyediakan pasukan yang baik untuk ke Vietnam. Ya saya mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan dengan dua tiga orang pemain akan kembali menyertai latihan pasukan selepas pulang dari Johor Bahru,” tambahnya lagi.

Meskipun tewas, KL City kekal di tangga keempat Liga Super dan kini akan membawa nama negara ke Piala AFC dengan kemenangan akan melayakkan mereka ke peringkat akhir Zon Asean menentang sama ada PSM Makassar atau Kedah Darul Aman FC.