TINGGAL dua bulan sahaja lagi menjelang kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bagi memilih calon yang baharu yang bakal diadakan di di Kigali, Rwanda, Afrika pada 16 Mac 2023.
Sejak penubuhan Fifa pada 21 Mei 1904 di Paris yang mengasaskan tujuh persatuan bola sepak Eropah iaitu Perancis, Belgium, Belanda, Denmark, Sepanyol, Sweden dan Switzerland, presiden pertamanya ialah Robert Gueri, seorang wartawan kanan di Paris, dan sehingga kini presiden Fifa telah bersilih ganti.
Eropah mempunyai wakil Presiden Fifa sebanyak lapan kali, benua Amerika Latin juga menjadi nombor satu Fifa, iaitu Joao Havelange dari Brazil yang merupakan presiden paling lama berkhidmat, bertahan selama 24 tahun.
Manakala, Afrika turut menerajui Fifa walaupun singkat selama lima bulan iaitu Isa Hayato dari Cameroon.
Sudah 118 tahun sejak Fifa ditubuhkan dan tiada seorang pun presidennya berasal dari Asia, ini terasa sangat tidak adil kepada organisasi sukan yang mempromosikan Fair Play paling popular di alam semesta.
Ketika ini, jawatan presiden sedang dijawat oleh Gianni Infantino.
Menurut bekas Pengerusi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Rabu, jika orang Asia menerajui Fifa, sudah tentu keprihatinan terhadap perkembangan bola sepak di Asia akan menjadi lebih tinggi.
Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk Asia menerajui Fifa dan ia bersandarkan kepada beberapa sebab.
“Pertama, bilangan tertinggi negara ahli FIFA adalah negara dari Asia. Kedua, jumlah tertinggi kelab berdaftar di dunia ialah Asia.
“Ketiga, Asia tidak pernah menjadi presiden FIFA. Keempat, jumlah penonton terbesar juga dari Asia.
“Kelima, Kejohanan Piala Dunia yang paling berjaya juga adalah di Asia di Qatar tepatnya dan akhirnya, jumlah remaja yang bermain bola sepak tertinggi juga di Asia,” jelas Djohar Arifin.
“Dengan alasan di atas, wajarlah orang Asia menerajui bola sepak dunia iaitu menjadi Presiden Fifa.
“Oleh itu, Asia perlu menyediakan siapakah tokoh bola sepak yang paling sesuai untuk menerajui bola sepak dunia, sudah tentu ia mesti diterima oleh negara anggota FIFA,” katanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Fifa.
ARTIKEL BERKAITAN: Hamidin dicalon jawatan Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027
Sebenarnya, Malaysia juga miliki calon yang bertanding di peringkat tertinggi badan induk itu apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dicalonkan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penggal 2023-2027 pada 1 Februari depan di Manama, Bahrain.
Turut dicalonkan enam individu lain iaitu Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al-Thani, Presiden Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF), Du Zhaocai dari China, Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) Kohzo Tashima, Presiden Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA), Chung Mong Gyu, Presiden Persatuan Bolasepak Filipina, Mariano Araneta, Jr dan Presiden Persatuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser H. Almisehal.
Hamidin menggalas misi besar andai terpilih kerana keutamaan dan tumpuannya ketika ini adalah menaikkan lagi bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi terutamanya di mata dunia.
Sementara itu, Djohar Arifin juga memberikan pandangan tersendiri bahawa terdapat orang Asia yang paling layak untuk memimpin Fifa.
“Sebenarnya Asia mempunyai tokoh bola sepak yang layak menerajui Fifa, mempunyai pengalaman luar biasa dalam bola sepak dan juga sangat dihormati oleh negara anggota Fifa.
“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai pengalaman luar biasa dalam bola sepak. Pernah menjadi pengurusan AFF, AFC dan Presiden Bola Sepak Malaysia.
“Jawatan Yang di-Pertuan Agong akan berakhir tahun depan pada 2024, sudah tentu ada lebih banyak masa terluang untuk menjaga bola sepak dunia,” kata Djohar.