KETUA Jurulatih Al-Seeb, Rasheed Jabar Alyafai tidak dapat menjelaskan perasaannya apabila berjaya membawa kelab Al-Seeb muncul juara Piala AFC selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Dia juga berbangga dengan aksi anak-anak buahnya yang berjaya menyekat kemaraan KL City selain gembira dapat menjaringkan tiga gol ke atas pasukan yang mempunyai disiplin bertahan yang baik.

Rasheed turut menjelaskan ini adalah kejayaan terbesar dalam kariernya sebagai jurulatih dan berharap ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih gemilang buatnya dan juga kelab Al-Seeb.

“Saya tidak dapat menjelaskan apa yang saya rasakan kerana kami telah menunggu saat hebat ini selama 15 tahun. Kami sudah berkerja keras sejak dari awal kejohanan dan para pemain menunjukkan aksi yang baik untuk membawa kami muncul juara buat kali pertama dan berharap ianya akan berterusan selepas ini.

“Pada saya titik tolak perubahan perlawanan ini adalah apabila penjaga gol kami berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya dari KL City dan selepas itu kami mula bergerak dan bermain dalam sistem kami dan gol pertama juga adalah penentu segalanya.

“Mereka juga mempunyai peluang tetapi kami tahu bagaimana mereka bermain dan kami tahu jika kami benarkan mereka mendapat ‘set pieces’ ianya akan memberikan bahaya kepada kami. Bukan mudah untuk menjaringkan tiga gol menentang pasukan yang terkenal dengan pertahanan yang berdisiplin.

“Kejayaan ini adalah pencapaian terbaik dalam karier saya sebagai jurulatih dan saya sangat berbangga dapat memenangi kejuaraan Asia ini bersama kelab Al-Seeb,” kata Rasheed yang menganggap cabaran terbesarnya adalah ketika perlawanan peringkat separuh akhir.

Rasheed yang memegang jawatan ketua jurulatih menggantikan pengendali Romania Eli Stan hanya pada September lalu kini muncul pengendali pertama membawa kelab Oman muncul juara kelab Asia dalam sejarah.