PERTAHANAN import Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry tidak mempunyai masalah untuk digandingkan dengan sesiapa pun di barisan pertahanan kerana mereka faham dengan tugasan masing-masing.

Shane juga gembira apabila berjaya layak ke final Piala FA pertamanya dan inilah sebab mengapa dia memilih JDT kerana ingin memenangi piala.

Walaubagaimanapun, dia sedikit terkilan apabila dibolosi satu gol hasil jaringan Lucas Silva pada babak kedua dan akan menganalisa kesilapan itu untuk memastikan ianya tidak berulang lagi selepas ini.

“Persefahaman kami cukup bagus. Saya pernah perkatakan perkara ini sebelum ini. Kami mempunyai cara permainan yang berbeza tetapi kami sudah berlatih bersama-sama sejak pra-musim dan dalam perlawanan ini semuanya menjadi dan saya gembira..

“Saya gembira sebagai pasukan untuk layak ke satu lagi final untuk merebut satu lagi piala. Inilah sebabnya saya datang ke Malaysia dan memilih JDT kerana mahu memenangi piala dan kejuaraan.

“Kami kecewa apabila melepaskan satu gol dan kami akan melihat semula dan menganalisa tetapi secara keseluruhannya kami gembira dengan enam gol yang terhasil dan akhirnya kami ke final,” ujarnya ketika ditemubual selepas perlawanan.

Pemain kelahiran Australia itu juga berjaya melakukan ‘assist’ kepada Fernando Forestieri untuk gol kedua JDT dan kini akan mengalihkan fokus mereka kepada perlawanan selepas ini menentang Terengganu FC.

Ditanya sama ada dia mahu menjaringkan gol, Shane dengan berseloroh berkata sudah tentu dia mahu tetapi dia lebih gemar untuk mempertahankan golnya daripada dibolosi.