MENJADIKAN sesuatu impian sebagai realiti mungkin kedengaran sukar, namun ia tidak mematahkan semangat dan keyakinan buat bekas pemain sofbol, Eda Ruyana Yahaya.

Dengan inisiatif sendiri, Eda Ruyana atau lebih dikenali Ed kini hampir merealisasikan cita-citanya untuk menubuhkan satu platform untuk memperkenalkan sukan sofbol dan menggilap potensi yang sedia ada di bawah pengurusannya sendiri, Cikdet Empire.

Ed kini sedang melaksanakan satu langkah utama untuk menggapai matlamatnya dengan mengumpulkan pemain-pemain muda mahupun bekas pemain yang lain untuk kembali memeriahkan sukan sofbol sekali gus mengasah semula teknik permainan supaya menjadi lebih baik.

Dengan sokongan rakan-rakan yang mempunyai minta sama, Ed telah membuka ruang kepada individu-individu tersebut terutama komuniti luar yang berminat untuk menyertai sesi latihan secara berkala, setiap Ahad bermula 14 Januari 2024 lalu.

Dalam masa yang sama, walaupun Ed merupakan pengasas bersama dua orang lagi sahabatnya Wan Rezawana dan Hani Ismahayanti dalam sesi latihan yang dijalankan, dia juga turun padang bersama dengan peserta-peserta yang lain dan mengikuti latihan seperti biasa.

Softball ini boleh dikatakan sudah sebati dengan jiwa Ed kerana dirinya sudah mula aktif dalam sukan sofbol sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Namun, perjalanannya dalam menjadi seorang pemain sofbol terhenti selepas menamatkan pengajian di universiti sejurus dirinya mengakui bahawa softball hanya popular sekadar di peringkat sekolah, kolej atau universiti sahaja.

Menurut Ed, bahawa platform yang sedang dalam proses membangun ini boleh diguna pakai buat individu yang ingin kembali dalam arena sofbol dan mahu menambah baik prestasi dalam sukan ini.

“Ia merupakan salah satu visi dan misi yang ditetapkan wanita kelahiran Melaka itu selain mahu menjadikan sukan sofbol sebagai acara yang boleh di biasakan ‘normalise’ dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya kuota peserta sudah ramai serta prestasi yang ditunjukkan telah berada pada tahap yang baik, tidak mustahil untuk saya membina sebuah pasukan dan membawa mereka ke kejohanan-kejohanan luar mahupun di peringkat antarabangsa kelak.

“Kita mulakan latihan ini dari A, jurulatih akan cuba mengajar dari teknik yang asas seperti teknik balingan, tangkapan dan lain-lain.

“Di masa hadapan nanti, jika kita sudah mempunyai peserta-peserta yang ramai dan teknik yang mereka punyai sudah mantap, kita akan cuba hantar mereka ke kejohanan di luar.

“Jika bernasib baik dan terdapat badan korporat mahupun individu dari luar yang ingin memberi sokongan dari segi tajaan dan wang dana, kita juga boleh menghantar mereka ini ke kejohanan luar negara.

“Tetapi bagaimanapun, prestasi mereka adalah penentunya. Jika sudah bagus, kita akan hantar kerana kita tidak mahu hantar untuk sekadar ‘dilaukkan,” ujar Ed kepada FLASH SUKAN.

Ed menambah, dirinya berharap agar orang luar yang berminat untuk mengasah bakat dan mendalami ilmu sofbol untuk menyertai sesi latihan bersamanya, berlokasi di WNZ Sports Arena, Puchong pada setiap Sabtu (6pm-8pm).