SENTIASA menghargai pencapaian cemerlang atlet di pentas antarabangsa, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan insentif kepada dua wakil boling padang negara yang meraih gelaran juara dunia di Kejohanan Dunia Boling Padang yang berlangsung di Gold Coast, Australia, semalam (Sabtu).
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu mengenai bentuk insentif yang boleh disalurkan kepada dua atlet negara terbabit Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi yang menjuarai acara beregu wanita.
“Kita kena bincang dengan MSN kerana hasrat untuk atlet-atlet ini yang mempamerkan aksi cemerlang sudah tentu ada insentif untuk menghargai pengorbanan mereka.
“Pada masa sama, kita juga akan lihat bentuk sokongan boleh diberikan kepada mereka supaya terus konsisten dan maju lagi,” katanya.
Gandingan Nur Ain Nabilah dan Aleena cemerlang di Gold Coast, ketika menundukkan lawan mereka dari Malta, Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixon 15-11.
Kejayaan terbabit cukup bermakna apabila kedua-dua pasangan terbabit baharu saja digandingan pada tahun ini, namun mampu ‘meletup’ di persada antarabangsa dengan menumpaskan pemain lebih hebat dan berpengalaman.
Malaysia pernah meraih kejayaan bergelar juara dunia pada 2008 menerusi Safuan Said, dalam acara single lelaki di Kejohanan Boling Padang Dunia di Christchurch, New Zealand.