PERLAWANAN Liga Super Malaysia membabitkan pasukan Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim FC dicemari dengan insiden penyokong membaling mercun dan batu.

Insiden ini berlaku selepas tamat perlawanan antara KL City FC dan JDT, dengan perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan besar 5-1 untuk juara bertahan Liga Super.

Menurut satu video yang dimuatnaik oleh SNE Sports, sekumpulan individu dipercayai penyokong The City Boys bertindak membaling batu, mercun dan suar ke arah penyokong JDT.

Mereka cuba untuk menghalang penyokong Harimau Selatan daripada meninggalkan perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Tindakan mereka bagaimanapun disedari oleh oleh marshal keselamatan stadium dan pihak berkuasa.

Ini memaksa kumpulan individu tersebut lari bertempiaran bagi mengelak ditahan oleh pihak berkuasa.

Ini bukan kali pertama insiden buruk berlaku membabitkan aksi KL City dan JDT. Sebelum ini, bas yang dinaiki penyokong Harimau Selatan dibaling batu selepas perlawanan diantara kedua-dua pasukan pada Mac tahun lepas.