GABUNGAN Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) berpandangan insiden kekecohan penyokong Kelantan FC yang membaling botol dan batu kepada peminat Perak sepatutnya dapat dielakkan jika kedua-dua penyokong menjaga emosi dalam stadium.
Bagaimanapun, Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim tidak menafikan terdapat segelintir peminat The Bos Gaurus yang nakal dan tak kurang juga yang ‘melayan’ kembali tindakan penyokong tuan rumah.
“Bola sepak ini menyatupadukan kita. Habis sahaja perlawanan sepatutnya kita pulang dengan aman. Insiden seperti ini biasa berlaku di era 90an, dan hari ini kita sepatutnya dah tinggalkan budaya samseng (hooligan) bola sepak.
“Hadirlah ke stadium dan berikan sokongan yang tak berbelah bagi kepada pasukan tak kira menang ataupun kalah,” katanya diminta mengulas provokasi tercetus antara kedua-dua penyokong pada aksi tegang di Kota Bharu pada Rabu.
Semalam, penyokong dan pemain Perak terpaksa ‘berlindung’ di tengah stadium bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.
Malah, tular klip video memaparkan segelintir penyokong Perak menunjukkan kelakuan kurang sopan ke arah penonton TRW lalu menimbulkan amarah.
Sementara itu, Hakimi menilai sikap dipamerkan penyerang import Perak FC, Sunday Kolawole Afolabi tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi atas padang.
“Tak profesional ! Sebagai pemain import dia sepatutnya membuktikan keberkesanan dia di atas padang, bukan dengan provokasi dan akhirnya mencetuskan rasa tidak puas hati pemain, pegawai dan penyokong lawan itu sendiri.
Amboi tengah kecoh-kecoh ada jugak yang sempat ‘push up bar’ kat tiang gol. Debe meme debe #flashsukan #kelantanfcvsPerakFC pic.twitter.com/03fNpB0y4I
— Flash Sukan (@FlashSukan) August 10, 2022
“Ada tempatnya untuk menari dan kononnya nak menghiburkan peminat sendiri. Kerana masa perlawanan masih berjalan, dan ini akan menyebabkan pelbagai tohmahan buruk terhadap pasukan,” ujarnya lagi.
Bagi pihak Persatuan Penyokong bolasepak Perak, pihaknya tampil menyusun sepuluh jari kepada penyokong The Red Warriors berhubung kejadian luar jangka.
“Saya berharap agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi, sesuatu perlu dilakukan mengelak kejadian ini tak berulang di mana-mana pun dalam kancah bolasepak di Malaysia,” katanya menggesa kawalan dan aspek keselamatan terus diperketatkan.