PENYERANG Uruguay, Darwin Nunez digantung lima perlawanan antarabangsa bersama beberapa pemain lagi kerana terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong ketika aksi Copa America menentang Colombia pada Julai lalu.

Rodrigo Bentancur digantung empat perlawanan, manakala Ronald Araujo, Jose Maria Gimenez dan Mathias Olivera masing-masing digantung tiga perlawanan.

Selepas Colombia memenangi 1-0 pada aksi separuh akhir Copa America, pemain-pemain Uruguay naik ke tempat duduk penonton dan berbalas tumbukan dengan penyokong.

Kapten Uruguay, Gimenez berkata pemain-pemain terbabit cuba mempertahankan ahli keluarga masing-masing.

Penyerang Uruguay, Darwin Nunez bergaduh dengan penyokong Colombia selepas aksi separuh akhir Copa America di Carolina Utara, Amerika Syarikat pada Julai lalu. (Sumber Gambar: Reuters)

Persatuan Bola Sepak Uruguay turut didenda AS$20,000 dan 11 pemain keseluruhan digantung kerana terbabit dalam pergaduhan.

Nunez didenda dengan jumlah sama, Bentancur AS$16,000, manakala Araujo, Olivera, dan Gimenez didenda AS$12,000 seorang.

Mereka akan menjalani penggantungan dalam perlawanan rasmi Uruguay seterusnya di kelayakan Piala Dunia 2026.

Uruguay akan berdepan Paraguay di Montevideo dan Venezuela di Maturin pada September; Peru (tempat lawan) dan Ecuador (laman sendiri) pada Oktober; Colombia (laman sendiri) dan Brazil (tempat lawan) pada November.