JURULATIH pasukan kebangsaan Malaysia B-23 , Brad Maloney berkongsi pendapatnya selepas menamatkan kempen Piala Asia B-23 AFC 2022 dengan kekalahan 0-2 menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan C pada Rabu.

Malaysia pulang gagal memungut sebarang mata selepas mengharungi tiga perlawanan dan prestasi ini dinilai sebagai teruk oleh peminat bola sepak tempatan.

“Sudah tentu kecewa. Kami mulakan permainan dengan baik dan positif. Insiden kad merah dan penalti di penghujung babak pertama menyebabkan kami sukar untuk bangkit dalam perlawanan ini.

“Namun, kredit harus diberikan kepada pemain Vietnam atas kemenangan mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Tashkent, Uzbekistan.

Tambah Maloney, back-to-back dua kejohanan selepas Sukan Sea Hanoi dalam masa enam minggu cukup memeritkan pemain negara namun mereka mendapat pengalaman berguna.

Meskipun perjalanan anak buah Maloney tersekat di peringkat kumpulan, katanya, masih ada lagi 15 pemain yang layak untuk mewakili skuad negara di Piala Asia B-23 pada tahun hadapan.

Malaysia menduduki tangga tercorot kumpulan manakala juara bertahan, Korea Selatan dan Vietnam mara ke suku akhir.

Masa depan pengendali asal Australia itu akan dibincangkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaik sahaja mendapat laporan lengkap daripadanya berikutan kegagalan skuad B-23 menyinar di Uzbekistan.