KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) bangkit daripada ketinggalan di laman sendiri apabila menewaskan skuad Harimau Kumbang 3-1 pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

Kejayaan dalam perlawanan tetangga utara ini sekali gus melunaskan ‘dendam’ kekalahannya kepada Penang FC selepas tewas tiga gol tanpa balas kepada pasukan berkenaan pada kejohanan Agarbomb Performance Cup 2024 di Terengganu, 21 April lepas.

Bagaimanapun, Penang menunjukkan kehebatan mereka dengan memimpin pertandingan melalui gol Richard Ankrah pada minit ke-14. Namun, anak buah Nafuzi Zain memberikan saingan yang sengit dengan menyamakan kedudukan melalui rembatan Habib Haroon pada minit ke-26.

Skuad pelawat dilanda malang apabila Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang susulan menerima kad merah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) gara-gara menjatuhkan Sukhrob Nurullaev.

May be an image of 5 people, people playing football, people playing American football and text

Adib akur kad merah diterimanya selepas semakan VAR.

Bermula babak kedua, tuan rumah kembali meneruskan asakan ke kubu Penang FC dan berjaya mendapatkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan peledak asal Serbia, Milos Gordic m-52.

VAR memainkan peranan penting apabila mendapati Fadzrul Danel telah ditarik oleh pemain Penang FC, Rafael Vitor dalam kotak penalti.

Kedudukan itu sedikit melemahkan semangat Penang yang tidak putus harapan memburu gol tetapi sebaliknya Kedah berjaya merobek gawang lawan, sekali lagi menerusi jaringan jarak dekat Milos Gordic m-65.

The Panthers cuba bangkit membalas serangan ke lawan namun semuanya gagal  membolosi gawang sehingga tiupan wisel penamat pengadil.