PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo yang menghempuk telefon bimbit salah seorang penyokong Everton telah mendapat reaksi kurang senang dari FA England.

Ianya berlaku semasa Ronaldo menuju bilik persalinan dalam keadaan yang agak tegang selepas pasukannya tewas kepada Everton dalam saingan pada April sekaligus menggagalkan mereka beraksi pada saingan Liga Juara-Juara.

Susulan insiden tersebut, pihak FA England telah mengambil maklum perkara itu dan akan mengambil tindakan dengan melakukan perbicaraan terlebih dahulu di mahkamah.

Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Ronaldo menjelaskan tindakannya melakukan perkara sebegitu.

“Ia bukan mudah untuk berdepan dengan emosi dalam keadaan sukar seperti apa yang kita lalui pada ketika itu.

“Apa-apa pun saya sedar kita perlu menghormati satu sama lain, sabar dan menunjukkan contoh yang baik terhadap generasi muda yang menyukai sukan tersebut.

“Saya juga ingin memohon maaf atas tindakan kurang sopan yang saya lakukan serta ingin menjemput penyokong ini untuk menyaksikan aksi di Old Trafford sebagai suatu fair play,” ujarnya.

Di bawah peraturan FA England, kes tersebut harus melalui proses perbicaraan meskipun saksi dibenarkan membuat kenyataan bertulis.