“SAYA teruja untuk pengalaman baharu di liga berbeza dan negara lain. Visi Al-Nassr amat memberangsangkan,” reaksi awal Cristiano Ronaldo selepas sah menyertai kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Bekas pemain Manchester United sudah tidak sabar untuk menyertai rakan sepasukan, membantu pasukan mencapai lebih banyak kejayaan.
Ronaldo menandatangani kontrak dua tahun setengah dikatakan akan menerima menerima 173 juta pound (RM761.3 juta) setahun di negara Timur Tengah itu dan menjadi atlet termahal dunia setakat ini.
Perjanjian itu dipercayai berlanjutan sehingga tujuh tahun, yang menyaksikan Ronaldo juga akan memainkan peranan sebagai duta sebaik dia bersara.
Ini bermakna Ronaldo akan menerima sehingga 1.2 bilion pound (RM5.28 bilion) sepanjang kontraknya itu.
Bintang Portugal itu yang menjadi ejen bebas sejak kontraknya bersama Manchester United ditamatkan bulan lalu.
Sementara itu, Al-Nassr dalam satu kenyataan memaklumkan kejayaan mendapatkan Ronaldo merupakan sejarah dalam pembikinan.
“Perjanjian ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada kelab untuk mencapai kejayaan lebih besar, tetapi turut mencetus inspirasi kepada liga dan generasi akan datang. Selamat datang @Cristiano ke rumah baharu anda,” ujarnya.
Ronaldo sebelum ini dikatakan cuba mengelak perpindahan ke benua Asia itu kerana masih mahu beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim ini.