LAMAN Instagram rasmi kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr menyaksikan kenaikan luar biasa pengikut sejak kelab itu menandatangani pemain sensasi dunia, Cristiano Ronaldo awal tahun lalu.

Sebelum kehadiran CR7, laman Instagram Al Nassr hanya diikuti seramai 894,000 pengikut dan meningkat 1,400 peratus kepada 22.6 juta pengikut pada hari terakhir tahun 2023.

Pemain kebangsaan Portugal itu sendiri mempunyai pengikut seramai 616 juta di Instagram dan popularitinya turut membantu Al Nassr dalam jualan cenderahati serta menaikkan nilai komersil kelab yang berpangkalan di Riyadh itu.

Sejak menyertai kelab yang mendapat jolokan Faris Najd, Ronaldo telah melakukan 34 penampilan dan menjaringkan 34 gol selain bergelar penjaring terbanyak dunia untuk musim 2023 dengan 54 gol di peringkat kelab dan antarabangsa.

Ronaldo kini membantu Al Nassr untuk menduduki tangga kedua Liga Pro Arab Saudi selepas 19 perlawanan dan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Liga Pro Arab Saudi akan berhenti rehat seketikan bagi memberikan laluan kepada saingan Piala Asia yang akan bermula pada 12 Januari 2024 dengan Arab Saudi bakal menghadapi tentangan Republik Krygyz, Oman dan Thailand.