KISAH percintaan antara seorang pemain bola sepak sensasi, Akhyar Rashid bersama selebriti terkenal, Eyka Farhana pastinya menjadi satu topik hangat di kalangan peminat bola sepak tempatan mahu pun pengikut-pengikut Eyka sendiri.
Walaupun hubungan mesra yang terjalin mungkin sudah mencecah lebih setahun, namun kisah pasangan serasi ini masih menjadi perhatian dan bualan hingga hari ini, khususnya dari kalangan penyokong tegar Akhyar.
Seperti yang kita sedia maklum juga, Akhyar dikelilingi oleh peminat-peminat bola sepak terutama di kalangan wanita dan Akhyar tidak sombong melayan semua peminatnya.
FLASH SUKAN sempat menemu bual pemain baharu Terengganu FC ini, dan sempat bertanyakan kisah cinta mereka.
Anak jati Jitra, Kedah ini mendedahkan bahawa Eyka Farhana seorang yang sangat profesional dan tidak mudah melatah akan perkara-perkara kecil yang berlaku.
“Dia tiada nasihat apa-apa kepada saya. Dia sendiri tidak pernah mahu mengganggu soal peribadi dan karier saya. Jadi dia sangat profesional, tidak banyak persoalkan perkara-perkara yang berlaku, sangat bagus,” ujar Akhyar.
Dalam masa yang sama, ketika diusik mengenai persiapan raya dan perancangan untuk menamatkan zaman bujang sekali gus dapat beraya ‘berdua’.
“Insya Allah nanti akan datang, tunggu sahaja.
“Keluarga kami pun sudah mengenali antara satu sama lain, mereka semua baik-baik sahaja.
“Tahun ini pula baju raya belum ada, cuti pun tidak pasti lagi bila, jadi persiapan raya tahun ini agak perlahan sedikit,” katanya.