PENYERANG skuad bola sepak wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli berjaya mencipta sejarah menjadi pemain wanita pertama Malaysia menjaringkan gol di Amerika Syarikat selepas berjaya meledak gol pertama ketika beraksi dengan kelabnya New York Dutch Lions FC pada Sabtu.

Intan berjaya menjaringkan gol tunggal buat NYDLFC pada babak kedua yang menyaksikan kelab itu tewas 1-3 kepada NY Athletic Club namun ianya adalah satu pencapaian terbaik buatnya.

Beraksi buat kali kedua selepas melakukan debut minggu lalu, Intan sekali lagi dimasukkan pada babak kedua dan berjaya menggunakan skil dan kelebihan yang ada pada dirinya untuk menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-85.

 

Dia nyata gembira dengan kejayaan ini dan berkongsi kegembiraan itu di laman sosial peribadinya dan dapat dilihat rakan-rakan sepasukannya turut meraikan jaringan sulungnya itu.

Ruangan komen Instagram milik Intan turut dihujani pelbagai komen positif dan ucapan tahniah daripada rakyat Malaysia yang turut berkongsi kejayaan ini dan berharap Intan dapat menggunakan pengalaman ini untuk menjadi pemain yang lebih baik.

Intan menyertai pasukan NYDLFC selepas menerima tawaran untuk beraksi dalam Liga Wanita Amatur di New York dan dilihat sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan dan sesi latihan yang disediakan.