INTER Miami telah mengesahkan kedatangan Luis Suarez, dengan penyerang itu sangat berbesar hati untuk ‘bersatu semula dengan rakan-rakan hebatnya’, termasuk Lionel Messi dalam Major League Soccer (MLS).
Suarez merupakan bintang terbaru yang tiba di Florida Selatan, menyusul bekas rakan sepasukan Barcelona Messi, Jordi Alba dan Sergio Busquets ke kelab yang dimiliki bersama oleh David Beckham.
“Tiada yang lebih indah dari bersama rakan,” tulis Inter Miami di Instagram dengan berkongsi gambar kanak-kanak yang memakai jersi bertulis nama empat bintang kelab itu. Kelab itu menambah: “Selamat datang ke impian Miami.”
Pemain antarabangsa Uruguay itu telah menghabiskan masa enam tahun di Barcelona bersama Messi, Busquets dan Alba, menyertai mereka di kelab MLS itu selepas meninggalkan kelab Brazil, Gremio, pada awal bulan ini.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk menerima cabaran baru ini bersama Inter Miami. Saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan ini, dan saya sedia berusaha untuk menjadikan impian menjuarai lebih banyak gelaran dengan kelab hebat ini menjadi kenyataan,” kata Suarez.
“Saya optimis dengan apa yang kami boleh capai bersama dengan cita-cita yang sama. Saya akan berikan yang terbaik untuk membawa kegembiraan kepada penyokong yang hebat ini yang begitu banyak saya dengar, sambil memakai jersi Inter Miami, dan saya berharap untuk bersatu semula dengan rakan-rakan dan pemain yang hebat. Saya juga tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan sepasukan dan jurulatih baru saya.”
Pelbagai gelaran telah diraih oleh penyerang berusia 36 tahun itu termasuklah Liga Juara-Juara, Copa America, dan lima kali juara La Liga, dan dia telah menandatangani kontrak satu tahun dengan laporan yang mendakwa perjanjian itu termasuk pilihan untuk melanjutkan musim seterusnya.
Beckham menyambut kedatangan Suarez dengan berkata: “Kami gembira dengan kedatangan pemain berkualiti dan bersemangat sepert Luis ke kelab kami. Dia menyertai skuad yang memberi inspirasi kepada generasi akan datang dan kami tidak sabar untuk melihatnya beraksi bersama rakan sepasukannya dan pemain muda dari akademi kami.”
Suarez berjaya mencetak 195 gol dan 113 bantuan dalam 283 penampilan untuk Barcelona antara tahun 2014 dan 2020. Bersama Messi, Alba, Busquets dan lain-lain, Barcelona meraih kemenangan dalam Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab dan empat gelaran La Liga.
Dia juga telah membuat 138 penampilan untuk negaranya, menjaringkan rekod 68 gol. Pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas mendakwa etika kerja Suarez melambangkan apa dicari oleh kelab dan berkata: “Luis adalah pesaing sengit dan cita-cita kemenangannya merangkumi apa yang kami mahukan daripada pemain kami.”
Awal minggu ini, Miami Herald melaporkan bahawa kelab itu menukar pilihan draf No 3 di MLS SuperDraft untuk pilihan No 15, FC Dallas dan wang peruntukan am sebanyak $300,000 (RM1.4 juta). Dana tersebut dijangka akan digunakan untuk membayar gaji Suarez.
Inter Miami pertama kali memberikan petanda mengenai pembelian itu selepas melepaskan penyerang, Josef Martinez pada akhir musim 2023. Kelab ini juga dijangkakan untuk menandatangani pemain sayap, Julian Gressel dari juara MLS Columbus Crew yang baru dinobatkan, menurut Miami Herald.