SKUAD kebangsaan Indonesia tewas 0-5 kepada Iran dalam perlawanan ujian terakhir menjelang Piala Asia 2023 di Pusat Latihan Al Rayyan, Qatar pada Selasa.
Ini adalah perlawanan ujian ketiga bagi pasukan Merah Putih selepas bertemu Libya dua kali di Antalya, Turkiye.
Jurulatihnya, Shin Tae Yong menurunkan barisan yang sama ketika mereka tewas 1-3 kepada Libya dalam perlawanan percubaan kedua, 5 Januari.
Trio Rizky Ridho, Jordi Amat dan Elkan Baggott mengisi nadi pertahanan. Justin Hubner kembali berduet dengan Ivar Jenner di bahagian tengah dan Marselino Ferdinan, Witan Sulaeman dan Rafael Struick menjadi tonggak utama di barisan hadapan.
Iran di depan selepas hanya dua minit permainan. Gol Iran dijaringkan oleh pemain yang bermain dalam Liga Perdana Inggeris bersama Brentford, Saman Ghoddos.
Iran meningkatkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-21. Kali ini pemain tengah Rouzbeh Cheshmi yang meletakkan namanya di papan skor.
Pada minit ke-35, Iran menjaringkan gol ketiga hasil sumbangan Saman Fallah.
Iran yang dibimbing oleh Amir Ghalenoei berjaya menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua. Dua gol tambahan dijaringkan oleh penyerang, Mehdi Ghayedi pada minit ke-71 dan 87. Perlawanan berakhir dengan jaringan 5-0.
Keputusan ini bermakna pasukan Indonesia sentiasa tewas dalam tiga perlawanan ujian menjelang beraksi di Piala Asia 2023.
Pasukan kendalian Shin Tae Yong akan menentang Iraq pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan D Piala Asia 2023, 15 Januari ini.