PRESTASI kurang memberangsangkan skuad Kuching City FC dalam Liga Super musim ini menyaksikan ketua dan penolong jurulatih pasukan, Irfan Bakti dan Sulaiman Hussin melepaskan jawatan masing-masing berkuatkuasa serta merta.

Sulaiman yang berkongsi perkhabaran ini dengan FLASH SUKAN menyatakan mereka berdua membuat tindakan ini atas dasar tanggungjawab selepas tewas 1-2 kepada Perak FC di Stadium Negeri, Ahad lalu.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan mendoakan agar Kuching City FC terus maju dan dapat bangkit untuk meneruskan saingan dalam Liga Malaysia.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan Kuching City FC atas segala jasa baik mereka selama tiga tahun bersama mereka dan atas dasar tanggungjawab berdasarkan prestasi yang kurang baik, saya mengambil keputusan untuk mengikut Irfan Bakti melepaskan jawatan. Saya juga mendoakan agar Kuching City terus maju untuk menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia,” jelasnya.

Gandingan Irfan Bakti bersama Sulaiman bersama Kuching boleh dianggap cemerlang selepas berjaya layak secara merit ke saingan Liga Super serta mara ke peringkat suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia 2022

Tampil dengan ramai pemain muda musim ini, Kuching City dilihat sedikit bergelut untuk menyaingi pasukan-pasukan lain yang jauh lebih berpengalaman dan setakat 17 perlawanan hanya berjaya mencatat satu kemenangan, tiga seri dan 12 kekalahan untuk menduduki tangga kedua tercorot Liga Super.