BEKAS Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan dia kini sedang berehat sepenuhnya dan ingin berada dalam fasa menenangkan dirinya setelah sibuk mengendalikan bekas pasukannya sebelum ini.

Jelasnya, masih belum terlintas di benak fikirannya untuk menabur bakti bersama pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia.

Fokusnya kini adalah memikirkan kesihatan dirinya dan mengambil tempoh untuk berehat di rumahnya sebelum berkira-kira untuk mengambil sebarang tanggungjawab baharu.

“Saya berehat sahaja sekarang ini. Saya malas nak fikir apa apa buat masa ini. Kesihatan Alhamdulillah, berasa baik dengan keadaan pada masa kini. Sekarang memang saya sedang berehat sepenuhnya.

“Buat masa sekarang ini, saya tidak fikir untuk sambung bersama mana-mana pasukan,” katanya ketika ditemubual Flash Sukan menerusi panggilan telefon.

Sementara itu, dia sempat menitipkan pesanan buat semua pemain yang beraksi dalam Liga Super agar bersungguh-sungguh bermain demi pasukan masing -masing.

Mengambil contoh pasukan Kelantan yang bukan sahaja dirundung masalah gaji tertunggak sebelum ini, malah prestasi mengejut apabila tewas 0-8 kepada Terengganu merupakan sesuatu yang memalukan dalam landskap bola sepak negara Malaysia dan sesuatu perlu dilakukan kelab tersebut dengan kadar segera.

“Sudah tentu ini sudah sampai ke penghujung, minta semua pemain-pemain ini bersungguh-sungguhlah.

“Kalau boleh janganlah jadi macam Kelantan 8-0. Satu ketika Kelantan boleh menang dengan Terengganu. Lepas daripada itu main di tempat yang sama, walaupun Terengganu itu kuat, bagaimana boleh kalah sampai 8-0,” ujarnya.

Dalam pada itu, Irfan turut mengharapkan kebangkitan dari bekas pasukan bimbingannya, Kuching City FC agar bangkit dalam perlawanan akan datang dalam kancah Liga Super Malaysia setelah menghuni tangga tercorot liga tersebut.

“Saya harap Kuching City FC bangkit selepas ini selepas mengalami aksi yang kurang memberangsangkan sebelum ini,” jelasnya.