OLIMPIAN negara, Nur Shazrin Latif akan mendapat khidmat bantuan terbaik daripada Institut Sukan Negara (ISN) dalam usaha memastikan pelayar negara itu dapat beraksi di Sukan Olimpik di Paris Julai.
Nur Shazrin yang layak kali ketiga ke Temasya Olimpik, dilaporkan mengalami kecederaan jari sehinggakan atlet terbabit membayangkan kemungkinan tidak dapat ke Paris Julai hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli beliau optimis bahawa atlet berusia 26 tahun itu tidak perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan berkenaan.
“Kami akan berusaha sehabis baik dan saya percaya pakar-pakar ISN berusaha untuk membantu Shazrin serta setiap keputusan kami buat berasaskan siasatan daripada imbasan daripada kecederaan itu,” katanya, ketika ditemui di Majlis Simposium Kardiologi di ISN.
Semalam, Shazrin memberi bayangan kemungkinan ‘terpaksa’ melupakan penampilan di Paris 2024 berikutan kecederaan pada jari tangan kanan ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis baru-baru ini.
“Program pemulihannya juga akan kami perhatikan rapat dan akan bincangkan bersama Shazrin dan jurulatih. Jika diikutkan, masih ada lagi kira-kira tiga bulan lebih sebelum ke Paris.
“Kita optimis kalau segala-galanya berjalan lancar, kita akan pastikan dia (Shazrin) dapat pergi ke Olimpik (Paris),” kata Faedzal sambil menepis dakwaan bahawa Shazrin terpaksa menunggu lama untuk menerima rawatan.
Tambahnya, beliau mengakui Shazrin ada akses terus dengan ISN kerana berada dalam program.
“Jadi saya tak nampak dia perlu menunggu lama menerima rawatan. Saya tak pasti dia perlu menunggu untuk pembedahan atau perlu berjumpa doktor. Apa yang jelas, Shazrin boleh terus dengan ISN,” tambahnya.
Terdahulu, Shazrin mengesahkan tiket ke Paris 2024 selepas meraih pingat emas di China dalam kategori Handed Dinghy ILCA 6.
Shazrin yang berasal dari Pahang menduduki tempat ke-33 pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Rio 2016 dan tempat ke-26 di Tokyo 2020.