MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan bahawa program ISNEXT 2024 akan mempertingkatkan akses perkhidmatan sukan kepada atlet-atlet negara dan negeri melalui kerjasama strategik dengan universiti-universiti tempatan di seluruh Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan atlet yang berada di luar kawasan utama seperti Sabah dan Sarawak tidak perlu lagi terbang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan sukan dan perubatan.

Dalam majlis perasmian program ISNEXT 2024 di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara (ISN), Hannah menegaskan pentingnya memanfaatkan kepakaran yang sudah sedia ada di universiti-universiti tempatan untuk menyediakan perkhidmatan rawatan sukan di pusat satelit.

Ini akan memudahkan atlet yang berada jauh dari ibu negara, terutamanya mereka yang memerlukan rawatan segera atau perkhidmatan sains sukan.

“Kami mahu memastikan perkhidmatan sukan ini bukan sahaja dapat dinikmati oleh atlet negara, tetapi juga oleh atlet negeri. Melalui kerjasama ini, mereka dapat menerima rawatan awal di pusat satelit yang bekerjasama dengan universiti-universiti sebelum dirujuk ke ISN jika diperlukan,” jelas Hannah.

Hannah menambah bahawa dengan adanya pusat-pusat satelit ini, atlet tidak perlu membazirkan masa dan wang untuk perjalanan jauh semata-mata untuk mendapatkan rawatan sukan.

Turut memberi contoh, jika seorang atlet di Sabah mengalami kecederaan, mereka boleh terus mendapatkan rawatan di pusat satelit tanpa perlu terbang ke Semenanjung. Perkhidmatan ini bukan hanya membantu atlet negara, tetapi juga atlet negeri yang sering kali menghadapi cabaran logistik dan kewangan untuk mendapatkan rawatan pakar di Kuala Lumpur.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Tambah Hannah juga bahawa perkhidmatan di ISN adalah percuma untuk atlet negara yang berada di bawah Program Podium.

“Ini termasuk rawatan perubatan, sains sukan, dan teknologi sukan. Namun, bagi atlet negeri atau orang awam, bayaran yang dikenakan adalah setara dengan perkhidmatan di hospital swasta.

“Perkhidmatan di ISN terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Namun, untuk atlet negara di bawah Program Podium, mereka menerima rawatan ini secara percuma. Manakala, bagi atlet negeri, mereka perlu membayar mengikut perkhidmatan yang diterima. Tetapi melalui program ini, atlet negeri dapat menerima rawatan awal di pusat satelit sebelum dirujuk ke ISN,” katanya.

Jelasnya, bahawa ISN memberi keutamaan kepada atlet podium dalam semua perkhidmatan rawatan yang disediakan, memandangkan mereka berada di bawah Program Podium yang menjadi fokus utama ISN.

“Kita utamakan atlet podium dahulu. Contohnya, jika saya ada dua pakar dan keperluan adalah untuk atlet podium, kita akan utamakan mereka dahulu,” ujar Hannah.

Selain perkhidmatan perubatan sukan, ISN juga menyediakan kepakaran dalam sains sukan dan teknologi sukan yang akan diintegrasikan dalam kolaborasi dengan universiti tempatan. Universiti-universiti yang terlibat dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang berkaitan sukan dan diiktiraf oleh ISN.

Program ISNEXT 2024 ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan sukan, tetapi juga untuk memanfaatkan sepenuhnya kepakaran tempatan yang sudah ada di institusi pendidikan.

Program ISNEXT 2024

“Kami tidak mahu membazirkan wang untuk mewujudkan pusat rawatan sukan di merata tempat apabila kita sudah mempunyai kepakaran yang mencukupi di universiti-universiti tempatan. Ini adalah salah satu cara kami bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti-universiti untuk memberikan akses yang lebih baik kepada atlet-atlet kita,” jelasnya lagi.

Mengorak langkah dengan menjalani kolaborasi strategik menyediakan pusat penyeliaan perkhidmatan penyelidikan dan kepakaran di peringkat negeri dan memberi pengiktirafan kepada empat universiti awam pada tahun ini sebagai pusat satelit isn iaitu Fakulti sains dan kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakulti sains sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA UiTM Ahah Alam, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA UiTM Cawangan Perlis dan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah(UMS).